HomeUtamaImpak tarif Trump kepada Sabah hanya minimum – Yong

Impak tarif Trump kepada Sabah hanya minimum – Yong

Read Time:2 Minute, 38 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Eksport langsung Sabah ke Amerika Syarikat (AS) adalah sangat sedikit sehingga tarif 24 peratus ke atas eksport Malaysia ke Amerika hampir tidak memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa Sabah.

Bekas ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee berkata eksport langsung barangan Sabah ke AS untuk tahun ini (2025) dianggarkan sekitar 1 peratus daripada jumlah eksport Sabah iaitu, hanya sekitar RM1 bilion daripada RM100 bilion eksport Sabah pergi ke AS.

“Eksport utama Sabah terdiri daripada minyak dan gas, minyak sawit dan produk sawit, produk kayu, makanan laut, pasir silika dan produk makanan yang kebanyakannya dieksport ke negara-negara Asia Timur Laut (China, Jepun, Korea) dan India, Eropah dan negara-negara ASEAN serta Semenanjung Malaysia.

“Eksport Sabah ke AS terdiri terutamanya daripada minyak dan gas, produk kayu, dan minyak sawit. Baru-baru ini, Sabah mula mengeksport sejumlah besar kuprum foil ke AS,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Tambah Yong kuprum (dan beberapa produk kayu) merupakan antara barangan yang dikecualikan daripada tarif timbal balik Trumph. Oleh itu, eksport kuprum foil dan beberapa produk kayu Sabah tidak terjejas oleh tarif Trump.

Menurut Yong, bagi tarif minyak sawit, jumlah minyak sawit yang dieksport ke AS hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah eksport minyak sawit dan produk sawit Sabah dengan anggaran RM20 bilion untuk tahun 2025.

“Kebanyakan minyak sawit dan produk sawit Sabah dieksport ke China, India, Eropah (terutama Belanda). Oleh itu, tidak sukar bagi pengeksport minyak sawit Sabah untuk mengalihkan minyak sawit mereka daripada pasaran AS ke pembeli (pengimport) utama minyak sawit kita yang lain.

“Apa yang perlu dilakukan oleh sektor minyak sawit Sabah juga adalah untuk mempunyai harga baja yang stabil, tenaga kerja yang boleh dipercayai di ladang kelapa sawit, dan peningkatan infrastruktur dan logistik tempatan untuk meningkatkan produktiviti industri minyak sawit.”

Namun begitu, Yong memberi peringatan bahawa jika perang perdagangan global tercetus disebabkan oleh tarif Trump, ini akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi rakan dagang utama Sabah seperti Semenanjung Malaysia, ASEAN, China, Jepun, India dan Eropah, maka ekonomi Sabah tetap akan menerima kesan secara tidak langsung akibat daripada penurunan kuasa beli pembeli (pengimport) eksport Sabah.

“Kemungkinan kerajaan Sabah kehilangan pendapatan akibat penurunan harga minyak global boleh diimbangi dengan Petronas meningkatkan pengeluaran selaras dengan apa yang dilakukan oleh OPEC+ (Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum Plus) dua hari yang lalu meningkatkan pengeluaran sebanyak 411,000 tong sehari.

“OPEC juga telah menjangkakan bahawa permintaan dunia terhadap minyak dan gas kekal stabil dengan asas yang kukuh,” katanya.

Yong yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, yang membimbangkan adalah kesan tarif itu terhadap ekonomi di Semenanjung Malaysia, khususnya Pulau Pinang dan Selangor.

“Kedua-dua negeri ini menempatkan pelaburan besar syarikat Amerika dan asing dalam sektor teknologi tinggi yang mungkin memindahkan operasi semula ke AS sejajar dengan objektif tarif Trump yang mahu membawa pulang kapasiti pengeluaran perkilangan dan industri yang telah hilang ke negara lain selama tiga puluh tahun globalisasi.”

Yong berkata sebagai sebahagian daripada anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang merangkumi ASEAN dan China, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand, Malaysia terus menikmati tarif yang agak rendah dengan kebanyakan rakan dagangan kita.

“Itulah sebabnya tarif Trump memberi kesan minimum kepada perdagangan antarabangsa Sabah dan ekonomi tempatan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua bangunan pusat cucian kereta musnah dalam kebakaran di Inanam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular