Oleh FLORIETA DIET
SANDAKAN: Lima mangsa cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan, Isuzu Dmax dan Proton Saga, di Jalan Batu 9, Sandakan sekitar jam 11:12 malam Sabtu.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Rosemidian@Rosdi Majid berkata, kejadian itu melibatkan seorang lelaki berusia 23 tahun yang memandu Proton Saga dan empat mangsa yang berada dalam Isuzu Dmax, iaitu seorang lelaki berusia 46 tahun serta tiga perempuan berusia 16 tahun.
“Semua mangsa yang terlibat dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan BBP.
“Pasukan BBP Sandakan, seramai lapan anggota, tiba di lokasi kejadian pada jam 11:29 malam dan segera melakukan pembersihan kawasan kemalangan serta mengambil maklumat dari tempat kejadian.
“Pasukan EMRS dan pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menghantar mereka ke Hospital Sandakan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya lagi, operasi tamat pada jam 12:22 pagi selepas pasukan BBP memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kemalangan.
Pihak polis juga hadir untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kejadian.