Oleh SABAH MEDIA TEAM
Selangor : Seramai tujuh anak jati Sabah berjaya membuktikan semangat kental dan kecekalan mereka apabila menyertai misi kemanusiaan ke Myanmar baru-baru ini bersama Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Misi yang dilaksanakan dalam suasana mencabar susulan kejadian gempa bumi di negara berkenaan turut disertai oleh Josue John Petrus; Chaerul Arifin; Adam Edward; Nicholas Petius; Sulaiman; Mark Anderson dan Avlyanie Moidi.
Ketika ditemui Sabah Media di Markas SMART di Pulau Meranti Puchong di sini, Chaerul yang bertugas sebagai penyelamat mengakui keadaan di Myanmar amat menyayat hati dengan kemusnahan ketara bangunan dan infrastruktur.

“Hari pertama memang mengejutkan. Kami tiada akses internet dan tidak dapat menjangkakan keadaan sebenar. Namun, kami datang dengan niat yang baik, untuk membantu.
“Hari demi hari, penduduk mula menerima kehadiran kami,” katanya.
Beliau juga menyuarakan harapan agar pasukan SMART terus maju dan dapat bekerjasama lebih erat dengan agensi-agensi lain dalam menghadapi bencana di dalam dan luar negara.
Sementara itu, Josue yang berperanan dalam aspek komunikasi dan media misi menyifatkan latihan sebelum misi sangat berguna namun masih berdepan pelbagai kekangan di lapangan.
“Cabaran utama adalah komunikasi. Sekatan internet menyukarkan penyampaian maklumat secara berkesan. Tambahan pula, cuaca panas dan gegaran susulan turut menguji kesiapsiagaan pasukan,” jelas Josue.

Kesemua anggota itu turut menyatakan rasa bangga dapat mewakili Malaysia dan Sabah khususnya dalam misi luar negara serta komited untuk terus berkhidmat dalam apa jua situasi kecemasan dan kemanusiaan pada masa akan datang.
Seramai 50 orang Penyelamat SMART malaysia yang dihantar ke Sagaing itu yang berlepas pada 30 Mac lalu itu berjaya mengeluarkan tujuh mangsa termasuk seorang yang masih hidup di bawah runtuhan gempa bumi di daerah Sagaing itu.
Kawasan berkenaan diantara paling teruk terjejas dan kini Kerajaan Myanmar turut memohon Malaysia membuka hospital Medan kerana 74 hospital mereka sudah tidak dapat digunakan lagi kerana bangunan itu kini tidak selamat digunakan – SABAH MEDIA