HomeUtamaJetama Sdn Bhd perkenal inisiatif baharu, laksana teknologi tenaga boleh baharu

Jetama Sdn Bhd perkenal inisiatif baharu, laksana teknologi tenaga boleh baharu

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu: Syarikat konsesi air Kota Kinabalu, JETAMA Sdn Bhd memperkenalkan beberapa inisiatif baharu, termasuk pelaksanaan teknologi solar terapung dan sistem penyahgaraman air laut.

Pengerusi Jetama Sdn Bhd, Datuk Yussof Abdul Manan berkata, langkah itu antara lain adalah bagi memastikan kelestarian sumber tenaga dan air di Sabah dapat digunakan sebaiknya.

Katanya, pihaknya juga kini giat membangunkan sektor tenaga baharu menerusi pelaksanaan sistem solar, termasuk satu projek yang telah beroperasi di Labuan selain akan dilaksanakan di Empangan Babagon, Penampang.

“JETAMA telah memulakan usaha untuk membangunkan satu lagi sektor dalam tenaga iaitu tenaga solar. Satu projek telah mula beroperasi di Labuan dan satu lagi akan bermula tidak lama lagi di Empangan Babagon, Penampang,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri JETAMA 2025 di sini semalam.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.

Yussof berkata, pelaksanaan projek itu akan menjadi sistem solar terapung pertama di atas permukaan air di negeri ini yang dikenali sebagai Solar-Powered Modular System (SOPMOD).

Katanya, projek berkenaan juga berkemungkinan akan dilaksanakan di kawasan Sandakan dalam masa terdekat.

“Ini adalah sebahagian usaha kami untuk menekankan pembangunan dalam sektor lain yang sedang dirancang. 

“Walaupun belum dapat saya dedahkan sepenuhnya, tumpuan awal adalah untuk meningkatkan bekalan elektrik di kawasan Pantai Barat,”katanya.

Dalam pada itu, Yussof berkata, pihaknya turut menerima permintaan daripada beberapa kawasan di negeri ini termasuk di Pulau Banggi dan sembilan lokasi lain yang telah dikenal pasti.

Katanya, JETAMA turut memperkenalkan satu teknologi baharu dinamakan ‘water desalination’ iaitu proses menyahgaramkan air laut untuk dijadikan air tawar yang boleh digunakan dalam sektor industri.

“Teknologi ini membolehkan air laut ditukar menjadi air tawar untuk kegunaan industri, manakala bekalan air dari Jabatan Air atau agensi tempatan di Lahad Datu pula boleh digunakan untuk keperluan domestik,” katanya.

Menurutnya, inisiatif itu adalah selaras dengan matlamat syarikat untuk memperluaskan capaian bekalan air bersih dan tenaga boleh diperbaharui kepada lebih ramai penduduk terutamanya di kawasan luar bandar dan pesisir pantai. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pelancong ke Malaysia meningkat kepada 6.7 juta pada Januari-Februari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular