Labuan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan mencatat nilai rampasan sebanyak RM169,255.76 atas pelbagai kesalahan yang direkodkan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata, dari jumlah itu sebanyak 45 kes telah berjaya dihasilkan menerusi pemeriksaan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan bermula awal Januari sehingga 31 Mac lalu.

Katanya, KPDN Labuan juga telah menjalankan sebanyak 4,111 pemeriksaan premis perniagaan.
“Dari segi tindakan kompaun, KPDN Labuan merekodkan jumlah kompaun yang dikutip adalah sebanyak RM8,900 selain denda sebanyak RM90,000.
“Kita juga turut menerima 33 aduan awam.KPDN sentiasa mengalu-alukan orang ramai yang mempunya sebarang maklumat atau aduan untuk bekerjasama menyalurkan aduan yang lengkap melalui saluran yang telah disediakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Junaidah berkata, sebanyak 67 premis perniagaan diseluruh kawasan bandar dan luar bandar Labuan telah diperiksa sebanyak 15 hari tempoh kuatkuasa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2025.
Katanya, pemeriksaan menerusi skim berkenaan yang bermula 24 Mac lalu itu telah dijalankan meliputi sektor borong dan runcit termasuk pasar-pasar awam di sekitar Labuan.
“Tiada tindakan kes mahupun aduan dilaporkan berkait SHMMP Hari Raya Aidifitri sepanjang tempoh 15 hari pelaksanaannya jika dibandingkan dengan pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina pada awal tahun ini dimana KPDN Labuan telah mencatatkan empat notis kompaun dikeluarkan atas kesalahan yang dilakukan semasa kuatkuasa Skim tersebut.
“Ini menunjukkan para peniaga semakin peka dan patuh dengan arahan-arahan semasa yang dikuatkuasakan Kementerian,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN