Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Pendedahan kepada teknologi pendidikan digital peringkat antarabangsa memberi aspirasi baharu kepada Kolej Vokasional Keningau (KVK) untuk menerajui transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sabah.

Dua pendidik dari KVK, Pengarah Lumang Anak Lang dan Guru Cemerlang Bahasa Inggeris Khalifa Affnan, kini bersedia membawa perubahan dalam landskap pendidikan vokasional dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR).
Mereka baru-baru ini mewakili Malaysia dalam ‘Capacity-Building Workshop on AI in Education for ASEAN TVET Teachers and Educators’ yang berlangsung di Jeju, Korea Selatan.

Program tersebut dianjurkan oleh Pusat Serantau Pembangunan Pendidikan Teknikal Organisasi Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO TED) dengan kerjasama Cheju Halla University, melibatkan penyertaan pendidik dari negara serantau seperti Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja dan China.
Khalifa berkata pengalaman tersebut membuka ruang baharu untuk menyesuaikan teknologi AI dan pendigitalan dengan keperluan pelajar vokasional di Sabah, khususnya dalam program hospitaliti seperti kosmetologi, kulinari, bakeri dan pastri, serta bidang teknikal seperti automotif, elektrikal, pembinaan dan kimpalan.
“Dengan teknologi simulasi digital ini, pelajar dapat mengalami situasi sebenar dengan lebih selamat dan interaktif, sama ada di dapur, salon, mahupun di bengkel,” katanya kepada Sabah Media.
Sebagai sebahagian daripada lawatan kerja tersebut, delegasi turut melawat Sekolah Menengah Teknik Seoul, rakan kolaborasi KVK sejak 2017, yang dilengkapi kemudahan berteknologi tinggi seperti pencetakan 3D, automasi industri dan sistem Internet of Things (IoT).
Lumang berkata lawatan kerja itu mengukuhkan lagi komitmen KVK untuk memacu pembelajaran digital secara menyeluruh.
Dalam usaha merealisasikan pembelajaran digital, KVK kini sedang membangunkan KVC Nexus, platform digital dalaman yang direka untuk memperkemaskan pengurusan akademik serta pengalaman pembelajaran.
“Kami bukan sekadar meniru, tetapi menyesuaikan idea global dengan keperluan tempatan,” jelas Lumang.
Tambahnya, kekuatan utama KVK terletak pada kepimpinan tenaga pengajar yang progresif dan berdaya saing. Ramai dalam kalangan mereka telah menerima pengiktirafan nasional seperti Guru Peneraju Generasi Digital (GPGD), Cikgu Juara Digital, Apple Learning Coach, dan Google Certified Educator.
“Beberapa tenaga pengajar kami sedang menerajui transformasi ini. Dengan adanya infrastruktur seperti Bilik Darjah Hibrid serta minda yang bersedia untuk berubah, kami yakin KVK mampu mempelopori penggunaan AI dan VR dalam TVET,” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua pendidik ini mengakui terdapat cabaran utama, khususnya dalam aspek latihan guru, ketersediaan infrastruktur teknologi, dan sokongan kepada pelajar berkeperluan khas.
Namun begitu, mereka melihat potensi masa depan yang jauh lebih besar iaitu pembelajaran praktikal yang lebih berkesan, pelajar yang bersedia menghadapi dunia kerja digital, dan sistem pengurusan akademik yang lebih cekap.
Bersempena pembukaan permohonan Guru Cemerlang yang bermula pada 17 Mac 2025 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Khalifa yang juga merupakan peserta program pertukaran guru di Sekolah Menengah Teknik Seoul sejak tahun 2017 mengajak lebih ramai guru Sabah untuk tampil ke hadapan.
“Sabah ada bakat, semangat dan potensi. Dengan sokongan dan keberanian, kita boleh jadi peneraju dalam transformasi pendidikan digital,” kata Khalifa.