Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas mengaku bersalah mencederakan seekor anjing baka Siberian Husky yang memasuki kawasan rumahnya dan membunuh ayam turkey peliharaannya.
Tertuduh, Yong Chen Fah @ Joseph Yong, 78, yang membuat pengakuan bersalah di hadapan hakim Amir Shah Amir Hassan turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, Yong telah dengan kejamnya memukul, menganiaya, mendera atau menakutkan anjing tersebut pada 31 Disember 2024 jam lebih kurang 1.30 petang, bertempat di Taman Donggongon, Penampang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 18(1)(a) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa membuat rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman minimum dengan alasan tindakannya adalah untuk melindungi diri. Beliau juga merayu atas faktor usia dan keadaan isterinya yang sering keluar masuk hospital akibat penyakit buah pinggang.
“Saya memukul anjing itu kerana ia masuk di kawasan rumah saya, mengigit dan membunuh ayam turkey saya. Saya bukan pukul anjing itu di luar kawasan rumah saya atau rumah pemiliknya.
“Saya sudah cuba menghalau anjing itu tetapi ia tidak mahu lari, malah cuba menyerang saya. Itulah sebab saya memukul anjing itu kerana ingin melindungi diri,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Francis Palikat, memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
“Tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan dijalankan. Namun isu kebajikan atau kezaliman ke atas haiwan ini melibatkan kepentingan orang ramai dan ini dapat dilihat dengan nilai denda yang tinggi yang dikenakan ke atas pesalah di dalam Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.
“Dalam kes ini, tertuduh telah melakukan tindakan berlebihan dengan memukul anjing yang telah membunuh dua ekor ayam turkey peliharaannya sehingga mendatangkan kecederaan, dan risiko kecacatan kekal atau kematian kepada anjing tersebut jika tidak diselamatkan tepat pada masanya,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, pemilik anjing bersama adiknya ternampak anjing mereka, seekor Siberian Husky jantan berusia empat tahun bernama Coby, dalam keadaan terbaring dan tidak bermaya dengan kesan darah di kepala dan mulutnya, di dalam kawasan rumah berpagar milik tertuduh.
Pemilik anjing terpaksa memanjat pagar untuk menyelamatkannya sebelum memaklumkan kejadian kepada ibu mereka. Mereka kemudian membawa Coby ke Sabah Animal Medical Centre (SAMC) Penampang dan seterusnya ke cawangan SAMC di Luyang untuk rawatan segera.
Laporan polis telah dibuat dan hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku membaling batu dan memukul kepala anjing itu empat hingga lima kali dengan sebatang kayu, sehingga haiwan itu terbaring serta tidak bermaya.
Tertuduh melakukan perbuatan tersebut kerana marah disebabkan anjing itu telah menggigit dua ayam turkey peliharaannya hingga mati dan cuba untuk menyerangnya.
Menurut laporan pemeriksaan oleh doktor veterinar di SAMC Luyang, anjing tersebut mengalami “Optic nerve neuritis” pada kornea mata kanan akibat kecederaan trauma. Selain itu, anjing itu turut mengalami kecederaan pada dahi, gigi molar kiri yang patah, serta ulser teruk pada mata kanan. Anjing tersebut telah menjalani rawatan “corneal repair” dan “third eyelid flap” berikutan kerosakan serius pada mata kanannya.
Tertuduh telah membayar denda yang dikenakan.
Difahamkan, pemilik anjing juga akan didakwa minggu hadapan atas kegagalan sebagai penjaga melindungi haiwan peliharaan daripada penganiayaan, di bawah Seksyen 22(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.