KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menerusi inisiatif KITA GEMPUR telah menggempur beberapa stesen minyak di kawasan Inanam dan Luyang dalam satu operasi penguatkuasaan baru-baru ini.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, pasukan pegawai Penguat Kuasa dari Seksyen Penguat Kuasa KPDN Sabah telah menjalankan pemeriksaan yang membawa kepada tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Hasil operasi itu, dua individu tempatan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Turut disita ialah dua buah kenderaan yang dipercayai telah diubah suai dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM45,752.50. Selain itu, pemilik stesen minyak yang terlibat juga dikenakan tindakan kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah akta yang sama.
KPDN Sabah menegaskan komitmen mereka untuk terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang ketirisan, terutamanya membabitkan barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.
Individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh meningkat kepada denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun.
Bagi syarikat pula, kesalahan pertama boleh membawa denda maksimum RM2 juta, manakala kesalahan berulang boleh dikenakan denda hingga RM5 juta.
Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat lengkap mengenai sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi melalui WhatsApp, e-mel, panggilan ke pusat aduan, atau aplikasi Ez ADU KPDN.