HomeSukanLiga Super : Martin yakin Sabah FC mampu jadi tiga pasukan terbaik

Liga Super : Martin yakin Sabah FC mampu jadi tiga pasukan terbaik

Read Time:1 Minute, 25 Second

Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC Martin Stano yakin anak buahnya mampu untuk memastikan skuad kendaliannya kekal menjadi tiga pasukan terbaik Liga Super musim ini.

Katanya, tumpuan penuh juga akan diberikan terhadap tiga lagi baki perlawanan liga termasuk bertemu PDRM FC malam ini di Stadium Likas, selain satu di gelanggang lawan yang menjadi penentu sama ada sasaran itu dapat dicapai atau sebaliknya.

Menurutnya, keyakinan itu adalah berdasarkan semangat yang ditunjukkan setelah hampir sebulan tiada perlawanan.

Pengendali Sabah FC Martin Stano

“Kita kembali selepas hampir sebulan daripada perlawanan terakhir sebelum Ramadan dan  sudah tentu kita memberi tumpuan kepada perlawanan akhir ini bagi mengumpul sebanyak mungkin mata dan menjaga kedudukan Sabah FC.

“Kita mahu memastikan sasaran untuk meletakkan Sabah FC di tangga tiga teratas carta liga pada penghujung musim Liga Super kali ini dapat dicapai, ini fokus kita,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persiapan Sabah FC bagi menghadapi perlawanan akhir Liga Super musim ini.

Skuad Badak kini berada di tangga keempat carta liga dengan memiliki kelebihan untuk memintas semula Kuching City di tangga ketiga menerusi tiga lagi baki perlawanan Liga Super musim ini.

Malam ini, skuad Sang Badak itu bakal menghadapi PDRM FC di Stadium Likas, sebelum bertandang ke Stadium Darul Aman bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 12 April nanti dan melayan kunjungan Perak FC di Stadium Likas pada 20 April.

Martin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada anak buahnya untuk memberikan persembahan yang terbaik dalam perlawanan akhir bagi musim ini dan memastikan Sabah kekal di tangga ketiga.

“Kita mahu mengumpul tiga mata dalam perlawanan itu bagi mengembalikan kedudukan Sabah FC di tangga ketiga carta Liga Super dan memastikan kedudukan itu kekal hingga selesai semua perlawanan musim ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

Putera C ungguli Sepak Takraw Piala Mayor Bandaraya Kota Kinabalu 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular