Kota Kinabalu : Sabah FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh di laman sendiri apabila berjaya menewaskan PDRM FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas malam ini.
Kemenangan itu membolehkan skuad Martin Stano mengumpul 39 mata selepas melakar 11 kemenangan untuk kembali menduduki tangga ketiga liga.
Sebaik wisel pertama ditiup, Sabah FC bermula dengan aksi menyerang dengan beberapa percubaan bagi mendapatkan gol awal skuad The Rhinos.
Sabah hampir mendapat gol awal menerusi percubaan penyerang Darren Lok pada minit ke-3, bagaimanapun sepakan nya terus ke dakapan penjaga gol pasukan pelawat, Nor Hakeem Hamidun.
Pasukan pelawat turut memberi tentangan hebat apabila cuba membuat jaringan gol namun berjaya di patahkan pertahanan tuan rumah.
Tuan rumah sekali lagi berpeluang mendapatkan gol pertama menerusi sepakan terus S.Kumaahran pada minit ke-38 namun berjaya ditepis keluar pertahanan PDRM FC.
Empat minit berselang, Sabah akhirnya berjaya mendapatkan gol pertama menerusi tandukan Dominic Tan selepas menerima bola hantaran Saddil Ramdani yang sebelum itu membuat sepakan sudut pada minit ke-42 menjadikan tuan rumah mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, anak didik Martin Stano meneruskan rentak permainan menerusi beberapa percubaan ke gawang pasukan pelawat namun gagal untuk menambah jaringan.
Keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan. Sabah FC akan bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman pada 12 April ini. – SABAH MEDIA / FOTO MFL