Kota Kinabalu : Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) kesal dengan kenyataan Ketua Penerangan Parti Warisan Datuk Azis Jamman berhubung dengan sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah yang berlangsung selama tiga bulan.
Timbalan Presiden PMBS berkata, kenyataan itu adalah tidak tepat dan ia boleh menimbulkan kekeliruan serta bersifat memutarbelitkan fakta sebenar.
Katanya, sambutan hari jadi TYT Sabah adalah satu acara tahunan yang bertujuan untuk merayakan sumbangan TYT kepada negeri ini dan rakyat Sabah secara keseluruhan.
“Ia adalah satu penghormatan yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri kepada TYT atas peranannya yang amat penting dalam memimpin dan menaungi negeri ini dengan penuh kebijaksanaan.
“Acara ini tidak dilaksanakan selama tiga bulan, sebaliknya ianya merupakan satu siri aktiviti yang melibatkan pelbagai pihak yang dijalankan dalam satu jangka masa yang singkat iaitu pada bulan Jun sahaja.
“Pihak kami ingin menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Azis Jamman adalah salah dan tidak berdasarkan fakta yang sebenar,” katanya dalam kenyataan di sini.
Saifuddin turut berharap agar individu-individu yang membuat kenyataan sebegini lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat kepada umum supaya tidak timbul salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Kami meminta kepada sesiapa sahaja agar bertabayyun atau menyemak terlebih dahulu kesahihan berita dan bukan hanya membaca tajuk berita dan bergantung kepada satu sumber berita sahaja.
“Kami juga menyeru agar semua pihak lebih beradab dan menghormati intitusi Tuan Yang Terutama negeri inj sebagai institusi yang tertinggi di negeri ini yang patut di hormati dan dipeliihara dinegeri ini.
“Berhati hati dan beradablah ketika membuat sebarang kenyataan berhubung apa saja yang melibatkan istana negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya turut yakin bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan terus komited dalam memastikan program-program yang dilaksanakan adalah untuk kebaikan rakyat dan negeri ini
Menurutnya, pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terjamin.