HomeUtamaDBKK perkasa misi alam sekitar bersama tiga rakan strategik

DBKK perkasa misi alam sekitar bersama tiga rakan strategik

Read Time:2 Minute, 26 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Dalam usaha menjadikan ibu negeri Sabah sebagai bandaraya mesra alam, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini melakar sejarah apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga organisasi berpengaruh dalam bidang pemuliharaan alam sekitar.

Langkah proaktif ini menyatukan kepakaran dari badan bukan kerajaan dan sektor swasta iaitu Marine Research Foundation (MRF), Legenda Bumimas Sdn Bhd dan My Protech Sdn Bhd demi menangani isu-isu mendesak seperti pencemaran laut, sisa elektronik dan pengurusan minyak masak terpakai yang semakin membelenggu bandaraya pelancongan itu.

Majlis MoU itu disaksikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri yang bertanggungjawab terhadap DBKK, Datuk Abidin Madingkir. DBKK diwakili oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, manakala pihak swasta dan NGO pula diwakili oleh Pengarah Urusan Legenda Bumimas Sdn Bhd, Datuk Tan Pek Chain; Pengarah Eksekutif MRF, Dr. Nicolas J. Pilcher dan Ketua Pegawai Eksekutif My Protech Sdn Bhd (Arus Oil), Mohd Syazwan Abd. Majid.

Abidin berkata, kerjasama ini menjadi pemangkin kepada penyelesaian isu-isu kritikal alam sekitar seperti pencemaran laut, sisa elektronik (e-waste) dan pengurusan minyak masak terpakai yang semakin membimbangkan.

“Dengan kerjasama strategik ini, kita yakin DBKK akan dapat mengatasi cabaran besar ini daripada plastik terapung di laut, pembuangan e-waste yang tidak terkawal, sehinggalah kepada sisa minyak yang dibuang ke longkang dan sungai. Ini semua memberi kesan bukan sahaja kepada alam sekitar, tetapi juga kepada pelancongan, kesihatan awam dan imej bandaraya,” katanya dalam sidang media selepas majlis itu.

Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan berupa bot khas kepada DBKK bagi operasi pembersihan laut secara mekanikal. Buat masa ini satu bot telah disediakan dan dua lagi akan menyusul dalam masa terdekat.

“Bandaraya Kota Kinabalu adalah pintu masuk utama pelancong ke negeri ini. Masalah pencemaran laut tidak boleh dipandang ringan dan perlu diselesaikan secara menyeluruh,” tegasnya.

MoU ini turut merangkumi pelaksanaan usaha pembersihan laut secara berterusan melalui penyelidikan dan pengumpulan data oleh MRF, pengurusan minyak masak terpakai yang lebih sistematik oleh Arus Oil, serta pengumpulan dan pelupusan tayar serta sisa elektronik oleh Legenda Bumimas. Selain itu, ia turut menekankan kepentingan pendidikan dan kesedaran komuniti melalui kempen dan program berterusan, pemantauan berkala pelan tindakan bersama agar matlamat jangka panjang tercapai serta sokongan kepada visi DBKK ke arah Bandaraya Hijau dan Lestari, sejajar dengan Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Sementara itu Dr. Sabin memaklumkan bahawa projek pengurusan tayar terpakai oleh Legenda Bumimas kini berada pada fasa permulaan, dengan sasaran untuk mengurangkan lambakan tayar terpakai yang sebelum ini dibuang di kawasan Kayu Madang hingga menyebabkan kebakaran.

“Kayu Madang kini mempunyai dua tapak pelupusan yang sudah penuh. Satu tapak baharu telah diserahkan oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada DBKK tahun lepas dan dijangka mampu bertahan lima tahun lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kempen tanpa plastik di Kota Kinabalu juga dilaporkan menunjukkan kejayaan positif dari segi penggunaan, namun cabaran masih wujud dalam aspek pembuangan tidak terkawal ke sungai dan laut.

RELATED ARTICLES
Utama

Ahli majlis daerah perlu turun padang, jadi mata dan telinga kerajaan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular