Kota Kinabalu : Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) menawarkan tawaran rebat kepada para pelajar Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) yang membuat pinjaman pengajian dibawah kendalian Yayasan Sabah (YS).
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, tawaran itu diberikan kepada peminjam yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik di kedua-dua institusi berkenaan.
Katanya, beberapa skim tawaran rebat diberikan kepada para pelajar KTYS dan UCSF.
“Antaranya, penyerapan penuh pinjaman kepada biasiswa untuk pelajar yang mendapat Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.8 dan ke atas, rebat 50 peratus kepada pelajar yang mendapat PNGK 3.5 hingga 3.79, dan rebat 25 peratus bagi pelajar yang memperoleh PNGK 3.0 hingga 3.49 bagi peringkat Diploma dan Ijazah.
“Tawaran rebat ini diberikan sebagai menggalakkan lebih ramai anak-anak Sabah melanjutkan pengajian ke KTYS dan UCSF serta memberikan motivasi kepada para pelajar untuk lebih cemerlang dalam akademik mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.
Gulamhaidar berkata, UCSF menawarkan pelbagai program akademik dan kemahiran yang relevan kepada kemajuan sosioekonomi dan budaya Sabah serta Malaysia.
Katanya, sebanyak 14 program ditawarkan di bawah empat fakulti iaitu Fakulti Pengurusan dan Keusahawanan, Fakulti Seni dan Multimedia Kreatif, Fakulti Sains dan Kelestarian Semula Jadi dan Fakulti Pembangunan dan Pengajian Kepelbagaian Budaya.
“Ia juga turut disokong oleh Pusat Kajian Pembangunan (CDS), Institut Kajian Borneo (IBS), Pusat Pembangunan Bahasa dan Generik (CLGD), Kilang Pengajaran dan Pembelajaran dan Galeri Inspirasi Seni Alam (NIAG).
“Sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, UCSF telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 anak-anak Sabah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah itu meningkat kepada lebih 1,000 pelajar aktif pada tahun lalu bagi kursus ijazah, diploma dan sijil seterusnya menjadikannya jumlah tertinggi sejak penubuhannya.
Katanya, UCSF juga telah berjaya mencapai kategori Kompetitif dalam Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA).
Dalam pada itu, Gulamhaidar berkata, KTYS ditubuhkan dengan objektif untuk menyediakan akses pendidikan berteraskan akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti tinggi; melahirkan graduan yang inklusif serta berketerampilan dan membentuk sistem tadbir urus yang berkualiti, cekap dan berintegriti.
Katanya, bagi mencapai objektif tersebut, perkongsian pintar dengan pakar industri yang berkaitan, institusi pendidikan dan latihan diwujudkan.
Menurutnya, bagi pembangunan modal insan, KTYS bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan dalam memenuhi keperluan pasaran kerja.
“Menerusi kempen KTYS Pilihanku, KTYS mencatat enrolmen 1,366 orang pelajar baharu, melebihi sasaran 1,345 orang pelajar baharu pada tahun 2024. Ini menunjukkan peningkatan dalam kemasukan dan komitmen terhadap pendidikan berkualiti di Sabah,” katanya.
Pada tahun lalu, KTYS mencapai 98 peratus kebolehpasaran graduan melalui kerjasama strategik, termasuk dengan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia, yang menawarkan pindahan kredit dan jaminan pekerjaan kepada graduan yang melanjutkan pengajian di sana selepas tamat pengajian di KTYS. – SABAH MEDIA