Kudat : Sekolah Kebangsaan (SK) Lampaki muncul juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah (MSS) Zon Matunggong 2025 bagi sekolah rendah yang berlangsung di SK Garau di sini baru-baru ini.
Kejohanan yang disertai seramai 72 murid dari enam buah sekolah rendah di daerah itu telah disempurnakan pelepasan masing-masing bagi setiap kategori oleh Penolong Kanan Pentadbiran SK Garau Kamissa Salleh dan Guru Besar SK Lampaki Alfred Mangabis.

Kamissa ketika berucap berkata, kejohanan itu merupakan antara platform yang memberi peluang kepada semua peserta untuk mengembangkan bakat dan meningkatkan kecemerlangan mereka dalam bidang sukan.
Katanya, penganjuran seperti itu juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara sekolah-sekolah dalam Zon Matunggong yang terlibat.
“Melalui persaingan dalam sukan, setiap individu belajar untuk menetapkan matlamat, berusaha keras dan tidak mudah mengalah. Semua itu adalah sifat yang penting untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.
“Kita semua telah menyaksikan satu acara yang bukan sahaja menguji keupayaan fizikal tetapi juga kekuatan mental dan semangat juang yang tinggi.
“Acara merentas desa ini bukan sekadar tentang siapa yang tiba dahulu di garisan penamat, tetapi tentang perjalanan yang penuh cabaran dan usaha gigih setiap peserta untuk menamatkan perlumbaan,” katanya.
Hadir sama pengerusi penganjur kejohanan Mary Mongujil.
Naib johan kejohanan dimenangi SK. Garau dan ketiga disandang oleh SK. Sabayan selain keempat dimenangi SK. Pinawantai, tempat kelima dan keenam masing-masing disandang oleh SK. Lotong dan SK. Matunggong.
Lima pemenang dari setiap kategori lelaki dan perempuan kategori bawah 12 tahun akan dipilih untuk mewakili Zon Matunggong pada Kejohanan Merentas Desa peringkat daerah Kudat yang akan diadakan pada 11 April bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pinawantai.
Terdahulu, Mary berkata, acara merentas desa bukan sekadar satu perlumbaan, tetapi simbol ketabahan dan keazaman, seperti dalam pendidikan, kejayaan memerlukan usaha berterusan, disiplin serta semangat tidak berputus asa.
Katanya, kesihatan dan kecergasan tubuh badan yang baik juga penting untuk membantu minda yang cerdas bagi murid-murid.
Beliau juga menyatakan agar menjadikan acara larian ini sebagai inspirasi untuk terus berusaha dalam pelajaran dan kehidupan.
“Jangan takut pada cabaran, kerana setiap langkah yang diambil mendekatkan kita kepada kejayaan. Walaupun kejohanan ini julung kali diadakan di peringkat zon, namun semua sekolah memberi komitmen yang sangat baik,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru, jurulatih, sukarelawan, jawatankuasa penganjur, semua peserta dan pihak penaja Life Water yang telah memberikan sumbangan bagi menjayakan kejohanan pada kali ini. – SABAH MEDIA