Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah diminta untuk mengambil langkah dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan golongan miskin tegar di negeri ini dapat dikeluarkan sepenuhnya daripada garis kemiskinan.
Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata, usaha itu perlu sebagai susulan kejayaan kerajaan negeri yang menoktahkan miskin tegar pada tahun lalu.
“Saya berbangga dengan keprihatinan Kerajaan dalam membasmi kemiskinan tegar melalui Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar Fasa Satu.
“Program ini telah berjaya menoktahkan seramai 22,510 orang Ketua Isi Rumah (KIR) dalam senarai ‘locked figure’ miskin tegar pada 31 Julai 2024.
“Saya berharap agar langkah dan pemantauan yang berterusan akan dilaksanakan Kerajaan bagi memastikan golongan ini terus berjaya keluar dari garis kemiskinan,” katanya.
Tun Musa berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kerajaan sempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di DUN Sabah di sini hari ini.
Ia adalah ucapan sulung bekas Ketua Menteri Sabah Ke-14 itu selaku Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah selepas dilantik ke jawatan berkenaan berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (GRS-Sulaman).
Tun Musa berkata, perhatian khusus juga diberikan untuk menyediakan rumah untuk golongan miskin di luar bandar, menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, pada tahun ini, peruntukan program ini telah dinaikkan, membolehkan sebanyak 40 unit rumah dibina di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 20 unit pada tahun lalu.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga akan terus menyediakan kemudahan asas perumahan yang berkualiti dan mampu milik melalui Projek Perumahan Awam dan Program Perumahan Mampu Milik.
Tambahnya, ia adalah untuk memastikan rakyat, khususnya dalam kalangan B40, mendapat akses kepada kediaman yang selesa dan berpatutan.
“Menerusi Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mencapai 100 peratus liputan bekalan elektrik luar bandar menjelang tahun 2030.
“Untuk merealisasikan sasaran ini, Jawatankuasa Elektrifikasi Luar Bandar Sabah ditubuhkan bagi mempergiat dan mempercepatkan inisiatif-inisiatif yang dirangka serta kaedah inovasi bagi menangani isu bekalan elektrik luar bandar.
“Selain itu, masyarakat luar bandar turut menerima manfaat yang besar menerusi pelaksanaan berterusan program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA).
“Dari tahun 2021 hingga 2024, sebanyak 46 kampung yang meliputi 2,484 orang penduduk telah menerima manfaat daripada program BELBA, manakala melalui program BALBA, sebanyak 29 kemudahan air bersih telah disalurkan ke beberapa daerah pedalaman dan telah memberi manfaat kepada seramai 5,536 penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Tun Musa berkata, menerusi kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan, usaha meningkatkan pendapatan golongan B40 di luar bandar di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kini menampakkan hasil yang memberangsangkan.
Katanya, Sabah berjaya merealisasikan eksport pertama nanas MD2 sebanyak 15 tan pada Februari lalu, melalui projek penanaman nanas di bawah inisiatif IPR dan memberi manfaat kepada seramai 450 pekebun kecil di luar bandar.
“Kejayaan ini bukan sahaja memberikan pendapatan tambahan kepada para pekebun kecil dalam kalangan B40, tetapi turut membuka peluang baharu dalam sektor pertanian serta meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH