Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Sabah berjaya mengekalkan pungutan hasil negeri melebihi paras RM6 bilion iaitu sebanyak RM6.842 bilion pada tahun lalu.
Berikutan itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah serta semua pihak yang telah menyumbang tenaga untuk mencapai kutipan hasil negeri yang cemerlang.
“Dalam usaha untuk mempelbagaikan sumber hasil dan mengurangkan kebergantungan hasil negeri terhadap sumber berkaitan minyak dan gas, Kerajaan Negeri telah mengenakan Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas tiga produk baharu.
“Antaranya termasuklah pasir silika, biojisim kelapa sawit yang dibawa keluar dari Sabah serta emas dan perak yang dilombong di negeri ini,” katanya.
Tun Musa berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kerajaan sempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di DUN Sabah di sini hari ini.
Beliau berkata, komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuhkan integriti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan negeri, terserlah melalui pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara ke atas Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sabah untuk tahun berakhir 31 Disember 2023 yang mencatatkan prestasi cemerlang tanpa teguran selama 22 tahun berturut-turut.
“Saya juga menyambut baik usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh tadbir urus kewangan negeri melalui penambahbaikan prosedur dan garis panduan pengurusan kewangan, seperti tatacara perolehan dan pelantikan konsesi.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan garis panduan pelantikan ahli-ahli lembaga pengarah serta menetapkan kriteria-kriteria khusus untuk merangka strategi serta mentransformasikan Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya.
Dalam pada itu, Tun Musa berkata, sebagai langkah ke hadapan, Kerajaan Negeri telah merangka hala tuju strategik pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun di bawah RMK-13.
Katanya, tumpuan diberikan kepada bidang-bidang keutamaan yang menjadi tonggak pembangunan ekonomi negeri melalui pertumbuhan Keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Justeru, saya menggesa agar semua kementerian, jabatan dan agensi negeri mengambil langkah proaktif untuk merancang pembangunan yang selaras dengan hala tuju yang telah ditetapkan ini bagi memastikan keperluan sebenar negeri Sabah diberikan keutamaan.
“Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan hala tuju strategik pembangunan negeri melalui RMK-13, Kerajaan Negeri akan memfokuskan pelaksanaan program dan projek yang berorientasikan kepada perbelanjaan pembangunan, selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan pengurusan kewangan negeri yang teratur serta meningkatkan perbelanjaan pembangunan berbanding dengan perbelanjaan mengurus.
“Dengan usaha ini, pencapaian matlamat pembangunan ekonomi negeri akan dapat dipercepatkan,” katanya.
Beliau turut yakin dengan kerjasama penuh daripada semua pihak, proses penyediaan RMK- 13 akan dapat berjalan dengan lancar dan teratur dengan mengambil kira pelbagai perspektif dan keperluan, seterusnya meletakkan asas yang kukuh untuk pembangunan negeri Sabah yang mampan dan inklusif. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH