Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Sabah akan memberi tumpuan lebih banyak bagi membangunkan aktiviti hiliran dalam industri utama, termasuk biojisim, kelapa sawit, perladangan pokok perindustrian serta minyak dan gas.
Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata, dengan menggalakkan pengembangan sektor- sektor ini, Sabah juga berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih mampan.
Katanya, pada tahun lalu, Sabah telah mencatatkan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM6.5 bilion, dengan 38.7 peratus daripadanya disumbangkan oleh sektor pembuatan.
Menurutnya lagi, angka itu jelas menunjukkan bahawa usaha Kerajaan Negeri untuk membangunkan sektor pembuatan berada di landasan yang tepat dan berjaya menarik lebih banyak perhatian pelabur ke negeri ini.
“Komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan pelaburan terus berkembang dapat dilihat melalui perancangan pembangunan tiga buah taman perindustrian yang baharu di Kudat, Kota Belud dan Beaufort.
“Pembangunan ketiga-tiga taman perindustrian ini kelak dijangka akan membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan untuk warga tempatan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.
Tun Musa berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kerajaan sempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di DUN Sabah di sini hari ini.
Menurutnya, pelaburan yang berterusan dalam sektor ini bukan sahaja memberi impak positif kepada sektor pembuatan, tetapi juga membuka peluang untuk integrasi teknologi, memperkukuhkan infrastruktur serta mencipta peluang pekerjaan.
Dalam pada itu, Tun Musa menyeru agar semua pihak untuk terus bekerjasama bagi memastikan setiap inisiatif yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0: 2021-2025 (Pelan Pembangunan SMJ) dilaksanakan dengan jayanya.
Katanya, kedua-dua dasar pembangunan utama itu telah dirangka dengan pelbagai inisiatif dan program yang bertujuan untuk memacu ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara holistik dan inklusif. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH