HomeUtamaGanjaran RM10,000 ditawarkan kepada pemberi maklumat

Ganjaran RM10,000 ditawarkan kepada pemberi maklumat

Read Time:1 Minute, 18 Second

Kota Kinabalu: Ganjaran sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada mana-mana individu yang tampil memberi maklumat berhubung pembunuhan kejam gajah Pygmy Borneo di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata, ia termasuklah kepada penangkapan, pendakwaan dan sabitan terhadap individu yang bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

“Pihak Kementerian telah memutuskan untuk menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada mana-mana individu yang tampil memberikan maklumat penting berhubung kejadian tersebut.

“Justeru saya menyeru dan meminta saksi atau pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan bagi membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Christina berkata, keputusan bagi menawarkan ganjaran itu telah dibuat menerusi mesyuarat Kementerian yang diadakan semalam susulan penemuan satu lagi bangkai gajah Pygmy Borneo dalam keadaan kepala dipenggal yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Ladang Bukit Tukok di Kalabakan, Tawau.

“Ini adalah kes mengejutkan yang ketiga sejak Januari tahun ini. Kami mahu bukti kukuh mengenai tindakan kejam ini.

“Sehubungan itu, kami memohon kerjasama orang ramai untuk membuat laporan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah dan pihak Polis sekiranya ada individu atau pihak yang menyaksikan mana-mana kejadian ini supaya kami dapat membawa pelaku ke muka pengadilan,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan penemuan bangkai gajah itu merupakan kes ketiga dan dipercayai dibunuh berdasarkan keadaan bangkai yang sudah reput dan tidak berkepala.

Sebelum itu, kejadian sama turut dilaporkan berlaku di kawasan Kalabakan.

Bangkai tersebut merupakan gajah kedua yang ditemui mati dalam keadaan tragis selepas gajah pertama ditemui pada Januari lalu, juga dalam keadaan tanpa kepala dan kaki di Maliau Basin. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Batu 2, Kg Baru, Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular