Oleh FLORIETA DIET
TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak agresif mengamuk sambil membawa sebilah parang di sebuah rumah di Taman Sri Titingan di dekat sini pada Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, suspek yang juga adik kepada mangsa bertindak luar kawalan sehingga mencetuskan ketakutan dalam kalangan ahli keluarganya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, berkata sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Tawau telah menahan suspek kira-kira jam 8.15 malam, pada hari yang sama.
“Suspek warga tempatan berusia 27 tahun ditahan dan merampas sebilah parang sepanjang lebih kurang 22 inci beserta sarung yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan setakat ini tiada kecederaan atau kerugian dilaporkan dalam insiden tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam kes berasingan, dua lelaki ditahan kerana dipercayai mencuri kabel elektrik di salah sebuah bangunan di Kampung Pasir Putih, Tawau pada malam Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, anggota pengawal keselamatan bersama tiga rakannya berjaya menahan dua lelaki yang mencurigakan dengan membawa sebuah karung guni berisi kabel dipercayai dicuri dari bangunan tersebut.
Champin berkata, sepasukan polis ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kira-kira jam 10.20 malam.
“Sebaik tiba di pondok pengawal, pihak polis menerima kedua-dua suspek yang diserahkan oleh anggota keselamatan berkenaan bersama barang rampasan,” katanya.
Menurutnya, salah seorang suspek warga tempatan berumur 41 tahun memiliki enam rekod berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala seorang lagi adalah warga asing berumur 28 tahun memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Katanya pihak Polis turut merampas satu gulung kabel elektrik, mata gergaji besi yang diubahsuai, sebatang test pen dan sebatang pemotong (cutter) yang digunakan untuk membawa kabel curi tersebut.
“Anggaran kerugian akibat kecurian kabel ini adalah sekitar RM500 dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.