Oleh FLORIETA DIET
TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis kerana memiliki serbuk daun dan air ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut, dekat sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau menahan suspek di ruang tamu rumah berkenaan kira-kira jam 11.20 pagi. Suspek turut bertindak agresif ketika ditahan namun berjaya dikawal oleh anggota polis.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di rumah tersebut, polis menemui satu karung guni berisi tujuh paket plastik lutsinar mengandungi serbuk daun kering ketum seberat 7,163.62 gram yang disimpan di sebuah bilik, serta sebuah tong berwarna oren yang mengandungi 30 botol air ketum berkapasiti 1.5 liter setiap satu di bahagian dapur rumah tersebut.
Menurutnya, kesemua barangan rampasan bagi tujuan pasaran tempatan itu dianggarkan bernilai RM3,000.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek warga tempatan berusia 30 an negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan suspek direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
“Polis akan menjalankan siasatan dan risikan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran ketum yang terlibat dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang berkaitan bahan terlarang ini,” katanya.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu di Kampung Rancangan Batu 22, Tawau, Selasa lalu.
Superintendan Champin berkata, suspek ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri namun usaha suspek digagalkan apabila pihak polis berjaya menahannya.
Katanya, hasil pemeriksaan pihak polis menemui satu paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 0.09 gram yang diserahkan sendiri oleh suspek.
Menurutnya, suspek dibawa ke BSJND untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan awal mendapati suspek seorang penganggur positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihak polis sedang giat menjalankan risikan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung aktiviti pengedaran dadah yang dipercayai melibatkan individu lain,” ujarnya.