KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mengukir nama di pentas antarabangsa apabila pasukan pelajarnya mencatatkan pencapaian membanggakan dalam pertandingan berprestij Philip C. Jessup International Law Moot Court Competition 2025, yang turut digelar sebagai ‘Piala Dunia’ pelajar undang-undang.
Menerusi satu kenyataan media hari ini, ia merupakan penyertaan kali ketiga berturut-turut UKM di peringkat antarabangsa, dan sekali lagi mereka membuktikan keupayaan bersaing dengan universiti terbaik dunia apabila berjaya mencatatkan rekod tanpa kalah dalam pusingan awal. Antara kejayaan terbesar yang dilakar termasuk kemenangan ke atas juara dunia bertahan serta juara kebangsaan dari United Kingdom, Sepanyol dan Taiwan.
Hasil prestasi cemerlang itu, UKM menamatkan pusingan awal di kedudukan ke-11 keseluruhan dalam kejohanan yang disertai oleh ratusan pasukan dari seluruh dunia. Lebih membanggakan, pasukan ini turut menerima Anugerah Alona E. Evans selepas dinobatkan di tempat ke-13 dunia bagi kategori Best Combined Memorials, satu pengiktirafan tertinggi terhadap kualiti penghujahan bertulis pasukan.
Tahun ini juga menyaksikan UKM melakar satu lagi sejarah apabila buat pertama kali mereka layak secara automatik ke Pusingan 32 Terbaik sebagai salah satu daripada 16 pasukan terbaik dunia. Perjalanan mereka di pentas Jessup terhenti selepas satu perlawanan yang cukup sengit menentang pasukan pilihan, Universiti Buenos Aires dari Argentina.
Kejayaan ini jelas membuktikan kemampuan pelajar undang-undang UKM untuk bersaing di tahap tertinggi dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Pasukan yang mewakili UKM dibarisi oleh pelajar Fakulti Undang-Undang, terdiri daripada Prajhessh Magendran, Ng Chin Yang, Lim Zheng Hua, Tan Ian dan Karthiga Elenggo. Mereka menerima bimbingan rapat daripada tiga jurulatih berdedikasi, iaitu Prof. Madya Dr. Haniff Ahamat, Barvina Punnusamy dan Thenesh Anbalagan.
Pihak UKM berharap kejayaan ini menjadi simbol semangat dan kerja keras yang ditunjukkan oleh seluruh pasukan, dan diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada generasi pelajar UKM yang akan datang untuk terus mengejar impian membawa pulang trofi Jessup ke tanah air satu hari nanti.