Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menegaskan bahawa ahli perniagaan Datuk Albert Tei bukan pemberi maklumat (whistleblower) dalam isu dakwaan rasuah melibatkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan rekod, Albert tidak pernah membuat aduan rasmi kepada SPRM, meskipun digesa beberapa kali untuk tampil memberikan maklumat.
“Alberti bukanlah seorang whistleblower di sini, dan saya telah gesa beliau untuk datang ke SPRM untuk memberi pengaduan, kalau ikut rekod, beliau tidak pernah datang ke pejabat untuk memberi aduan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Sabah di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa SPRM kini sedang menganalisis 10 video yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah tersebut, termasuk yang telah dimuat naik di portal MalaysiaKini.
Menurut Azam, analisis awal terhadap lapan video sebelum ini mendapati terdapat banyak unsur penyuntingan dan manipulasi yang menjejaskan kredibiliti sebagai bahan bukti di mahkamah.
“Video-video ini tidak boleh diterima di mahkamah kerana banyak elemen editing dan ia tidak credible,” jelasnya.
Tambah beliau, video baharu yang lebih panjang kini sedang dianalisis secara terperinci oleh Bahagian Forensik SPRM, dengan fokus kepada penyuntingan, pemotongan bingkai, audio yang diubah serta kemungkinan manipulasi digital lain.
Beliau turut mengesahkan bahawa siasatan ke atas dua kertas berkaitan kes ini masih diteruskan. Siasatan pertama membabitkan Albert Tei bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd, Jontih Enggihon dan siasatan kedua pula melibatkan dakwaan pemberian wang kepada lapan ADUN Sabah.
“Kita juga sudah panggil semula semua individu terlibat, termasuk Albert dan lapan ADUN yang dinamakan. Kita cuma menunggu dokumen tambahan daripada Albert untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Azam menegaskan bahawa SPRM komited menjalankan siasatan secara telus dan tidak akan melindungi mana-mana pihak.