HomeUtama670 PATI warganegara Filipina dipulangkan melalui Pelabuhan Sandakan

670 PATI warganegara Filipina dipulangkan melalui Pelabuhan Sandakan

Read Time:1 Minute, 31 Second

SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) berjaya melaksanakan pemulangan seramai 670 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina pada Jumaat (11 April).

Pemindahan tersebut melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Sandakan yang terdiri daripada 536 lelaki dewasa, 89 perempuan dewasa, 21 kanak-kanak lelaki dan 24 kanak-kanak perempuan berumur antara satu hingga 79 tahun.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, program ini dilaksanakan hasil kerjasama erat dengan Kedutaan Republik Filipina yang telah mengeluarkan dokumen perjalanan untuk semua tahanan.

“Kesemua PATI ini dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit sah, selain tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

” Kesemua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka telah menjalani hukuman penjara dan dihantar pulang selepas melengkapkan semua dokumen perjalanan yang diperlukan.

Menurutnya, setakat ini seramai 3,370 warganegara Filipina telah berjaya dihantar pulang melalui pintu masuk negeri Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan pendatang asing yang telah dipindahkan dalam program ini seramai 4,198 orang.

Dalam pada itu, Sitti Saleha menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kemudahan pas dan dokumen imigresen.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah, termasuk individu yang melanggar syarat pas atau permit,” katanya.

Jabatan Imigresen turut menasihatkan majikan dan masyarakat supaya hanya mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah dan mengikut lunas undang-undang.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran PATI di negara ini,” tambah beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Suami didakwa bunuh isteri mengaku tidak bersalah, perbicaraan Julai ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular