Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan tiga kompaun kepada penjaja yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan menerusi Ops Didik dan Tegur di sekitar Anjung Kinabalu dan Anjung Senja di sini Rabu lalu.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, dua kompaun dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Penjaja 1966 kepada penjaja di D’Walai Mata Biru dan Anjung Senja atas kesalahan menjaja tanpa kebenaran.
Manakala, satu keping kompaun lagi telah dikeluarkan kepada penjaja di Anjung Senja atas kesalahan di bawah UUK Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984.

“Seiring usaha mewujudkan persekitaran bandar raya yang lebih selesa dan selamat bagi masyarakat dan pelancong, DBKK telah melaksanakan Ops Didik dan Tegur di sekitar Anjung Kinabalu dan Anjung Senja.
“Operasi ini telah ditumpukan di sekitar Anjung Kinabalu, iaitu D’Walai Suri dan D’Walai Mata Biru, serta Anjung Senja di mana teguran telah diberikan kepada pengusaha gerai berkaitan etika penyediaan makanan, etika menyantuni pelanggan dan kebersihan di sekitar kawasan gerai masing-masing.
“Para peniaga turut diberikan amaran tegas untuk mempamerkan tanda harga dengan jelas,” menurut kenyataan itu di sini.
DBKK memaklumkan, pihaknya turut serius untuk menyediakan persekitaran yang bersih, selamat dan harmoni demi keselesaan pengunjung dan pelancong di Bandaraya Kota Kinabalu.
“Sehubungan itu, semua pengusaha di sekitar bandar raya diingatkan untuk sentiasa patuh kepada peraturan yang telah dikuatkuasakan.
“DBKK akan terus komited dalam melaksanakan pemeriksaan dari masa ke masa bagi memastikan tahap pematuhan penjaja sentiasa berada pada tahap terbaik,” tambah kenyataan itu lagi.
Terdahulu, operasi itu diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK Robert Lipon dan turut melibatkan usaha sama daripada seramai 51 anggota DBKK yang terdiri daripada Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Pengurusan Harta. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK