Kota Kinabalu : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mempertimbangkan untuk menambah perjawatan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang dilihat amat kritikal dan diperlukan pada masa kini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata, penambahan perjawatan itu adalah bagi mengoptimakan perkhidmatan kepakaran jantung di Sabah.

“Jika kita inginkan Pusat Jantung Sabah ini beroperasi dengan sempurna, perjawatan PPP ini perlulah segera ditambah
“Saya menyokong penuh jumlah perjawatan PPP di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) ini ditingkatkan dan pihak KKM perlu mempertimbangkan perkara ini dengan mengambil kira kepentingan hospital ini menjadi sebuah hospital utama di Sabah yang menjadi Pusat Jantung Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Derma Darah dan Pelancaran Sambutan Hari Pembantu Perubatan peringkat negeri Sabah di HQEII di sini semalam.
James yang juga Exco Kesihatan berkata, jumlah perjawatan PPP di HQE II kini telahpun penuh diisi iaitu seramai 87 orang PPP.
Katanya, penambahan itu juga akan dapat memberi kebaikan yang menyeluruh kepada seluruh rakyat Sabah dalam menerima rawatan kepakaran jantung.
“Peranan yang dimainkan oleh PPP ketika ini amatlah penting terutamanya melibatkan kepakaran yang kompleks. Di HQE II ini yang menjadi Pusat Jantung Sabah, PPP melakukan prosedur kepakaran yang kompleks.
“Antaranya seperti Transthorasic Echocardiogram (TTE); Exercise Stress test Echocardiogram; Pacemaker Interrogation; Advanced Haemodynamic Intracardiac Monitoring; Adjunctive Invasive Cardiovascular procedures dan Electrophysiological Studies (EPS),” katanya. – SABAH MEDIA