Oleh FLORIETA DIET
TAWAU: Seorang lelaki warga asing berumur 30an ditahan polis pada Khamis kerana bertindak menetak rakannya dengan sebilah parang di Jalan Tanah Merah Merotai Besar, dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa seorang lelaki berusia 49 tahun luka di bahagian tangan lengan kanan, belakang dan di badan mangsa ditetak suspek pada 27 Januari lepas ,sekitar jam 11.15 malam.
“Kejadian berlaku apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek mahu berjumpa untuk menyelesaikan satu urusan. Setibanya dilokasi pertemuan, suspek telah menyerang dan menetak mangsa dengan parang yang pada ketika itu sedang mabuk.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa yang telah mengalami trauma mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat orang awam, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai berjaya menahan suspek bersama sebilah parang dipercayai digunakan semasa kejadian tersebut.
“Siasatan juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk tinggal di negara ini.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.