KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan sesekali melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti bersalah, namun dalam masa sama tidak akan tunduk kepada tekanan politik atau spekulasi tidak berasas.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri sentiasa menjunjung prinsip ketelusan, integriti dan kedaulatan undang-undang dalam sebarang siasatan atau tindakan yang diambil.
Beliau mengulas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa ADUN Sabah yang dikaitkan dengan isu pelesenan mineral.
“Saya memandang serius dakwaan yang dibangkitkan oleh YB Calvin Chong, namun kenyataan beliau jelas menunjukkan kedangkalan terhadap proses undang-undang dan siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.
“Dalam keghairahan mencipta persepsi politik, kita tidak boleh mengorbankan prinsip keadilan dan proses undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Nizam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini telah menjelaskan bahawa tiada sebarang unsur campur tangan daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam siasatan tersebut.
“Malah, beliau telah dua kali dipanggil oleh SPRM dan memberikan kerjasama penuh. SPRM juga telah memanggil semua ADUN yang dikaitkan, memperlihatkan video berkenaan dan mendapatkan penjelasan secara terus daripada mereka yang terlibat.
“Hasil analisis forensik terhadap lapan video awal mendapati terdapat unsur suntingan dan manipulasi, menyebabkan ia tidak layak dijadikan bahan bukti di mahkamah. Video terbaharu yang lebih panjang kini sedang dianalisis dengan teliti,” katanya lagi.
Tambah beliau, SPRM sebagai badan bebas wajar diberi ruang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa sebarang gangguan atau tekanan luar.
“Saya menyeru semua pihak untuk lebih bertanggungjawab dalam mengulas isu ini dan tidak menjadikan siasatan yang masih berjalan sebagai bahan politik.
“Rakyat Sabah berhak mendapat kepimpinan yang berani, tetapi juga adil dan berprinsip,” tegasnya.