Kota Kinabalu: Selepas hampir sebulan pulih daripada banjir, daerah Beaufort kembali dilanda banjir menyebabkan seramai 80 orang mangsa terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan kekal (PPK) Selagon petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa yang dipindahkan itu adalah melibatkan sebanyak 31 keluarga dengan enam buah kampung turut dilaporkan terjejas.
Bencana kali ini juga berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan pedalaman Sabah yang menyebabkan air Sungai Padas di Beaufort meningkat sehingga melebihi paras bahaya.
Selain Beaufort, daerah Nabawan masih mencatat jumlah mangsa seramai 475 orang melibatkan 121 keluarga dan jumlah itu yang tertinggi direkodkan setakat jam 8 malam tadi.
Berikutan itu, sebanyak enam buah pusat pemindahan sementara (PPS) masih diaktifkan termasuklah di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan yang menempatkan seramai 145 mangsa melibatkan 33 keluarga; Dewan Kampung Bahagia (73 mangsa); Balai Budaya Kabangawong (43 orang) dan Balai Budaya Kampung Sarikan (66 mangsa).
Dua lagi PPS yang diaktifkan adalah di Balai Budaya Kampung Saupi yang menempatkan 61 mangsa dari 19 keluarga serta di SK Kampung Pandiwan (87 mangsa).
Manakala di Sook, jumlah mangsa meningkat kepada 219 orang melibatkan 74 keluarga dan dipindahkan ke dua PPS.
Antara PPS yang dibuka adalah Dewan Kampung Membulu dan Dewan SK Pekan Keningau II.
Jumlah mangsa terjejas di tiga daerah adalah seramai 774 orang melibatkan 226 keluarga. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH