Membakut : Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri berupaya mengeratkan hubungan silaturrahim dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama terutama di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, tradisi dan amalan seumpama itu perlu diteruskan termasuk sambutan perayaan lain yang dirayakan pelbagai kaum di Sabah.

“Hari ini kita mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti mana biasa dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini. Mudah-mudahan program ini akan menjadi wadah menjalin silaturahim dan mahabah.
“Ini kerana yang hadir bukan sahaja di kalangan masyarakat yang beragama Islam, tetapi juga rakan-rakan kita yang lain. Inilah yang menjadi salah satu petunjuk betapa kehidupan kita di negeri ini perlu terus menjalin hubungan tanpa mengira latar belakang politik, keturunan bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini hari ini.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag serta Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, tradisi dan amalam seumpama itu perlu diteruskan bagi menjamin keharmonian, perpaduan, mahabah dalam kalangan masyarakat khususnya di Sabah.
Terdahulu, pada majlis itu, seramai lebih 160 orang kanak-kanak golongan asnaf menerima sumbangan duit raya yang disampaikan masing-masing oleh Tun Musa dan Hajiji.
Majlis yang diadakan seawal jam 9 pagi itu turut dihadiri lebih 10,000 orang tetamu sekitar daerah Membakut dan beberapa daerah lain di negeri ini– SABAH MEDIA