HomeSukan1,200 peserta meriahkan program 'Fun Run' JHEKS SPACSU 2025

1,200 peserta meriahkan program ‘Fun Run’ JHEKS SPACSU 2025

Read Time:1 Minute, 35 Second

Kota Kinabalu : Seramai 1,200 individu terdiri daripada ahli kesatuan sekerja di negeri ini menyertai Program ‘Fun Run’ Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) SPACSU 2025.

Program anjuran JHEKS itu selaras dengan agenda nasional Malaysia Sihat, yang giat dilaksanakan sejak empat tahun lalu bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Hanafiah Kassim berkata, kesihatan tidak lagi dianggap sebagai isu peribadi semata-mata, sebaliknya telah menjadi keutamaan negara.

“Dalam kesibukan gaya hidup moden, inisiatif seperti ini memberi ruang kepada masyarakat untuk kembali aktif dan bergerak secara sihat.

“Penganjuran program ini juga berteraskan kelestarian korporat (CSR) dan seiring dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), khususnya dalam aspek sosial.

“Ia bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, malah memberi peluang kepada syarikat untuk merekodkan sumbangan mereka serta menikmati insentif cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menamatkan larian sejauh tujuh kilometer yang bermula dan berakhir di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Likas, di sini semalam.

Hanafiah berkata, Fun Run JHEKS SPACSU 2025 turut menyelitkan elemen perpaduan yang amat penting dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Keunikan acara tersebut ialah penyediaan juadah tradisional seperti kelupis dan rendang ayam di setiap ‘checkpoint’, menjadikan suasana larian seakan-akan rumah terbuka Aidilfitri.

“Saya anggap ini sebagai satu kreativiti yang wajar dipuji. Di sebalik fokus terhadap kesihatan, program ini turut menjadi platform memperkenalkan makanan warisan dan kraftangan tempatan dalam bentuk ‘goodies’.

“Idea seperti ini berpotensi dikembangkan ke peringkat antarabangsa, termasuk melibatkan negara jiran seperti Brunei dan Singapura,” katanya.

Bertemakan ‘Larian Solidariti, Kekuatan Komuniti’, program ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan masyarakat, malah memperkukuh hubungan antara ahli kesatuan dan komuniti setempat.

Hadir sama, Ketua Pengarah JHEKS, Mohd Asri Abdul Wahab dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin.

RELATED ARTICLES
Sukan

Putera C ungguli Sepak Takraw Piala Mayor Bandaraya Kota Kinabalu 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular