Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin, menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan agar segera merangka pelan tindakan awal bagi menghadapi kemungkinan krisis ekonomi susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif ke atas barangan import dari pelbagai negara, termasuk Malaysia.
Menurut Amisah, tindakan Presiden AS, Donald Trump, yang mengenakan tarif sebanyak 24 peratus terhadap produk dari Malaysia, walaupun kesannya dilihat kecil buat masa ini, tetap perlu diberi perhatian serius.
“Saya percaya tarif ini akan memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi negara dan negeri, terutama apabila harga produk Malaysia meningkat di pasaran AS, menyebabkan permintaan menurun,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16, di sini, hari ini.
Katanya, penurunan permintaan akan mencetus kesan berantai atau impak domino, bermula daripada pengurangan pengeluaran, penurunan pendapatan syarikat, hingga kepada pembuangan pekerja, penutupan kilang dan akhirnya peningkatan kadar pengangguran.
“Perkara ini boleh mengakibatkan krisis ekonomi serius yang memberi kesan terus kepada rakyat, terutamanya di negeri-negeri seperti Sabah yang sedang giat membangun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan mula meneroka pasaran alternatif selain AS bagi produk-produk utama negara, terutamanya dalam sektor elektronik dan elektrik yang menjadi antara penyumbang besar kepada eksport negara.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri memperkukuh inisiatif kempen barangan tempatan sebagai salah satu langkah mengukuhkan pasaran domestik dan mengurangkan kebergantungan terhadap eksport.
“Pemerkasaan produk tempatan penting agar ekonomi terus bergerak walaupun berlaku tekanan luar. Selain itu, kita juga boleh memanfaatkan pasaran serantau seperti ASEAN dan negara-negara jiran untuk meluaskan capaian produk tempatan,” tambahnya.
Amisah menegaskan, Sabah tidak boleh leka dalam hal ini kerana walaupun dasar ekonomi ditentukan di peringkat Persekutuan, negeri juga mempunyai tanggungjawab untuk bertindak proaktif dalam melindungi kepentingan rakyat dan merangsang ekonomi tempatan.