HomeGaya hidupColor Light Aidilfitri tarik minat pengunjung dalam dan luar negara ke DUN...

Color Light Aidilfitri tarik minat pengunjung dalam dan luar negara ke DUN Kawang

Read Time:2 Minute, 29 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Pertandingan Color Light Tertutup Bahagian Kawang Sempena Aidilfitri 2025 yang berlangsung selama dua malam pada 12 dan 13 April bukan sahaja menceriakan suasana perayaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang di sini, malah berjaya menarik kehadiran pengunjung dari luar negeri termasuk Sarawak, Semenanjung Malaysia dan negara Brunei Darussalam.

Johan… Hiasan lampu rumah Azizul Ramli di Kg Beringis.

Dengan tema Kemeriahan Aidilfitri, program anjuran Pemuda Gagasan Rakyat DUN Kawang bersama komuniti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia ini memasuki edisi kedua selepas penganjuran sulungnya di peringkat mukim dan kampung pada tahun lalu. Tahun ini, pertandingan diperluas ke seluruh DUN Kawang dengan penyertaan 35 buah rumah dari Kampung Beringis, Kawang, Kinarut, Pengalat Besar dan Pengalat Kecil.

Azrul (tengah) pada sidang media semasa mengadakan lawatan rumah-rumah yang menyertai pertandingan Color Light Aidilfitri 2025 di Kg Beringis.

Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Pusat merangkap Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim, berkata pertandingan kali ini menampilkan kelainan apabila peserta mengetengahkan suasana simulasi Aidilfitri dalam hiasan mereka.

“Antara elemen yang dipaparkan termasuk suasana malam raya, pagi 1 Syawal dan pelbagai tema kreatif lain. Program ini bukan sahaja menyerikan perayaan, malah menggalakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Menariknya, masyarakat bukan Islam turut serta membantu menghias rumah dan memasang lampu, menjadikan pertandingan ini sebagai platform untuk mengeratkan hubungan sesama komuniti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.

Azrul turut memaklumkan bahawa keunikan pertandingan itu berjaya menarik perhatian pelawat dari luar daerah termasuk Sarawak, Semenanjung Malaysia dan juga dari negara Brunei yang hadir untuk menyaksikan kemeriahan Aidilfitri di Kawang.

“Secara tidak langsung, ia turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti pelancongan dan peruncitan,” tambah beliau.

Azrul berkata, inisiatif seperti ini berperanan sebagai medium mendidik generasi muda agar terus menghargai budaya serta tradisi tempatan.

“Kami menyasarkan agar pertandingan ini dijadikan acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Sabah. Ia bukan sahaja memperkenalkan DUN Kawang di peringkat nasional, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar seperti di Papar,” jelasnya.

Kampung Beringis menjadi antara lokasi tumpuan pada tahun ini dengan penyertaan sebanyak 16 buah rumah, manakala selebihnya datang dari kampung-kampung lain sekitar DUN Kawang.

Dalam pertandingan itu, johan membawa pulang wang tunai RM3,000, naib johan RM2,000 dan tempat ketiga RM1,500. Enam peserta lain menerima saguhati RM500 setiap seorang, dan kesemua peserta turut diberi penghargaan sebagai tanda sokongan dan penghormatan atas penyertaan mereka.

Sehubungan dengan itu, Azrul turut menegaskan bahawa pihaknya komited untuk meneruskan penganjuran program ini dengan penambahbaikan setiap tahun.

“Melihat sambutan positif tahun ini, kami juga bersedia membantu mana-mana pihak yang berminat untuk menganjurkan pertandingan seumpama ini di tempat lain. Usaha seperti ini penting bagi memperkukuh semangat perpaduan dan menyatukan rakyat pelbagai latar belakang di Sabah,” ujar beliau lagi.

Johan pertandingan Color Light itu dinobatkan kepada Azizul Ramli dari Kg Beringis, manakala naib johan Saiful Wasli dari Kg Sri Tanjung Pengalat Kecil dan tempat ketiga Norazlinah Jeli dari Kg Beringis.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir saksikan Teater Muzikal Seni Warisan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular