Kota Kinabalu : DAP Sabah mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti politik, asalkan kepentingan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan.
Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata, kerjasama politik mesti berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembangunan Sabah, dan bukan semata-mata demi menghadapi pilihan raya.
Justeru itu katanya, DAP Sabah bersedia untuk berbincang mengenai dasar-dasar yang perlu dilaksanakan demi masa depan Sabah sebelum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik.
“Saya mengambil maklum akan pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berhubung kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Ingin saya tegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara DAP Sabah dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama pilihan raya. Pertemuan secara tidak rasmi antara tokoh-tokoh politik adalah perkara biasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, DAP Sabah melihat perkara ini selaras dengan semangat Madani yang dipraktikkan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, yang telah menjamin kestabilan politik sejak Pilihan Raya Umum yang lalu.
Bagaimanapun, Jin Zhe berkata, DAP Sabah kekal berpendirian bahawa kestabilan politik selepas PRN17 adalah amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan kemajuan berterusan dalam membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang makmur dan berjaya.
Katanya, pendirian PH Sabah harus dibincang dalam mesyuarat pimpinan PH Sabah dalam masa terdekat. – SABAH MEDIA