Oleh FLORIETA DIET
KENINGAU: Dua buah rumah musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Luagan Baru, Jalan Apin-Apin di sini pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Severinus@Mohd Nizam Sainkui, rumah pertama yang terbakar merupakan struktur tidak kekal dua tingkat berkeluasan 30×40 kaki persegi, manakala rumah kedua ialah rumah satu tingkat jenis separuh kekal dengan keluasan 25×40 kaki persegi.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan pada jam 11:36 pagi dan sepasukan 10 anggota bersama satu jentera FRT serta sebuah tangki air telah dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11:44 pagi dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 12:04 tengah hari.
“Operasi pemadaman ditamatkan pada jam 1:54 petang selepas pemeriksaan rapi dilakukan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada lagi ancaman kebakaran,” tambahnya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.