KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya Sabah Electricity Sdn. Bhd. diberikan kuasa penyiasatan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 sebagai langkah memperkukuh peranannya dalam penguatkuasaan berkaitan bekalan tenaga di negeri ini.
Ewon berkata, langkah itu penting bagi memastikan isu seperti kecurian elektrik yang menyumbang kepada ketidakstabilan bekalan tenaga dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Sebagai langkah awal, Sabah Electricity juga perlu diperkasakan dengan penguatkuasaan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 di mana Suruhanjaya Tenaga Sabah boleh menurunkan kuasa kepada Sabah Electricity untuk melaksanakan perkara-perkara berkaitan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan koperasi berkata, sektor ekonomi dan keusahawanan Sabah sangat memerlukan bekalan tenaga dan utiliti lain yang konsisten bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing serta menarik minat pelaburan ke negeri ini.
“Saya percaya Kerajaan Sabah sedang tampil dengan perancangan bagaimana dapat memastikan bekalan utiliti ini ditingkatkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menarik minat pelaburan,” katanya.
Ewon turut menekankan keperluan perancangan jangka panjang untuk Sabah Electricity, terutama setelah kawal selia tenaga diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri Sabah.
“Penyerahan sepenuhnya Sabah Electricity kepada Kerajaan Sabah dalam tujuh tahun ini memerlukan perancangan bagaimana syarikat ini kelak dapat berdikari dan menjadi pembekal tenaga utama di Sabah,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar Sabah Electricity tidak hanya bergantung kepada pembelian tenaga daripada loji jana kuasa bebas (IPP), sebaliknya menjana sendiri bekalan tenaga sebagai sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri.
“Dengan tarif elektrik yang ada dan kebergantungan tinggi kepada subsidi Kerajaan Persekutuan, sudah tiba masanya Kerajaan Sabah merancang menjadikan Sabah Electricity sebagai syarikat GLC Negeri yang menjana tenaga sendiri dan boleh disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya.