KOTA KINABALU: KEADILAN Sabah menyambut baik keputusan Barisan Nasional (BN) Sabah untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), seperti yang diumumkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Pusat merangkap Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin berkata, keputusan tersebut dilihat sebagai langkah positif dalam memperkukuh kerjasama antara komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
“KEADILAN dan PH Sabah sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan semua rakan dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN akan datang. Malah, satu pertemuan tidak rasmi antara PH dan BN Sabah pernah diadakan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namun begitu, KEADILAN Sabah menyarankan agar hubungan antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijernihkan terlebih dahulu demi memastikan kestabilan politik negeri.
“Kita tidak mahu perselisihan antara dua komponen ini menyebabkan PH tersepit di tengah-tengah, sekali gus menjejaskan gerak kerja pilihan raya nanti,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa BN boleh memainkan peranan penting dalam kerajaan negeri tanpa mengetepikan fungsi semak dan imbang dalam pentadbiran.
“Apa yang penting di sini adalah bagaimana BN dapat berperanan bersama PH dan GRS dalam kerajaan Sabah bersama-sama membangunkan negeri ini seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan. Apa yang menjadi keutamaan adalah pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri serta kebajikan rakyat,” katanya.
Menurut Razeef, KEADILAN Sabah akan mengadakan perbincangan bersama komponen PH untuk menentukan rakan kerjasama strategik terbaik yang dapat memperkukuh agenda reformasi di peringkat negeri.
“Ini selaras dengan semangat autonomi parti serta mendokong Gagasan Malaysia Madani demi memastikan kebajikan rakyat Sabah terus terbela,” katanya.