Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Sebanyak lebih 2,000 Laporan ketidakpatuhan (NCR) telah dikeluarkan terhadap syarikat konsesi dan kontraktor yang dilantik berhubung kerja-kerja penyelenggaraan di Sabah pada tahun lalu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, meskipun prestasi syarikat yang dilantik dalam keadaan memuaskan namun terhadap kerja-kerja yang dilakukan kurang menepati skop.
Katanya, kerja-kerja yang dilaksanakan perlu diperbaiki semula sehingga NCR tersebut ditutup.
“Setakat ini prestasi mereka adalah dalam keadaan yang memuaskan. Walaupun dalam keadaan yang dikatakan memuaskan, pada tahun lalu juga pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan NCR.
“Ertinya ada kerja-kerja yang dilakukan kurang menepati skop dan perlu diperbaiki semula sehingga NCR tersebut ditutup. Pada tahun lalu, sebanyak 2,000 lebih NCR telah dikeluarkan dan berjaya ditutup.
“Pihak JKR akan terus memantau prestasi mereka dari masa kesemasa,” beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, berhubung status keadaan jalan raya di Sabah, beliau berkata, jalan raya di negeri ini majoritinya lebih separuh sudah melepasi tempoh had reka bentuk mereka.
Katanya, perkembangan ekonomi yang dipacu oleh kemajuan pencapaian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini telah meningkatkan aktiviti ekonomi yang tinggi.
“Apabila sudah melepasi jangka hayat, ekonomi aktiviti sudah berkembang, jumlah aliran trafik sudah bertambah ditambah dengan bebanan lebihan muatan dan faktor cuaca.
“Inilah yang menimbulkan cabaran kita. Kerosakan-kerosakan yang dialami, ada jalan-jalan yang berlubang, kita melakukan kerja-kerja ‘patching’ atau ‘heavy patching’,” katanya.
Namun katanya, bagi jalan-jalan yang telah melebihi jangka hayat yang strukturnya sudah terganggu, patching bukan Solusi.
“Solusinya adalah resurfacing ataupun rehabilitasi. Bagi jalan negeri seperti yang saya sebut tadi, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif pertama iaitu membuat kerja-kerja rehabilitasi untuk empat jalan tesrebut.
“Mungkin pada tahun hadapan ada jalan-jalan negeri yang lain juga yang akan kita buat rehabilitasi untuk menjadikannya sempurna,” katanya. – SABAH MEDIA