HomeUtamaStruktur sedia ada kekal, Kerajaan Negeri komited laksana Projek Empangan Ulu Padas...

Struktur sedia ada kekal, Kerajaan Negeri komited laksana Projek Empangan Ulu Padas – Hajiji

Read Time:3 Minute, 37 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah yakin struktur sedia ada dalam Projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas adalah yang paling sesuai dan stabil bagi memastikan kelangsungan serta kejayaan pelaksanaan projek berimpak tinggi itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan, tiada keperluan untuk menamatkan penglibatan mana-mana pemegang saham sedia ada selagi projek berkenaan berjalan mengikut perancangan dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negeri Sabah.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Bung Moktar mempersoalkan justifikasi kerajaan membenarkan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. kekal terlibat dalam projek itu walaupun didakwa gagal melaksanakannya sejak 2015.

Menjawab perkara itu, Hajiji menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa kelewatan pelaksanaan projek berpunca daripada beberapa cabaran termasuk perubahan struktur pemegang saham, keperluan kajian teknikal yang mendalam, penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri, serta impak besar daripada pandemik COVID-19.

“Projek ini dianugerahkan melalui Surat Tawaran Bersyarat oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada Julai 2015. Selepas Sabah Electricity Sdn. Bhd. menarik diri sebagai pemegang saham, Kerajaan Negeri melantik Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. untuk mewakili kepentingan negeri,” katanya.

Sebuah syarikat tujuan khas, Upper Padas Power Sdn. Bhd., telah ditubuhkan bagi melaksanakan projek berkenaan.

Antara 2015 hingga 2019, pelbagai kajian teknikal dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) telah dilaksanakan sebelum projek dimulakan. Namun, pada Oktober 2018, projek ini ditangguhkan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum diberikan lampu hijau semula pada Februari 2020. Penularan pandemik COVID-19 seterusnya memberi kesan kepada kemajuan projek akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Hajiji, pemaju menerima surat pengesahan kadar tarif pada Januari 2022, manakala tarif muktamad telah diluluskan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) pada September 2024 setelah mendapat kelulusan Majlis Tenaga Sabah.

“Ketika ini, proses rundingan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) sedang berjalan dan dijangka dimuktamadkan pada Jun 2025. Penutupan kewangan pula disasarkan pada September 2025, dengan projek dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2030,” katanya.

Ketua Menteri berkata, sebaik projek ini beroperasi, ia akan menyumbang secara signifikan kepada kestabilan bekalan tenaga elektrik di Sabah dan pada masa sama menyelesaikan isu bekalan air untuk tempoh sehingga 100 tahun menerusi Skim Bekalan Air Ulu Padas.

Projek ini juga dijangka memberikan pulangan dividen melebihi RM3 bilion kepada Kerajaan Negeri sepanjang 40 tahun, serta membuka ruang bagi aktiviti penyelidikan, eko-pelancongan dan pembangunan tenaga boleh baharu.

Dalam soalan tambahannya, Bung Moktar turut mempersoalkan sejauh mana komitmen kerajaan terhadap prinsip ketelusan.

“Adakah kerajaan akan menentukan masa depan negeri ini berlandaskan ketelusan, di mana kebiasaannya syarikat yang gagal akan ditamatkan kontraknya?” soalnya.

Menjawab soalan itu, Hajiji berkata, kerajaan mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan.

“Projek ini bukan dilengahkan dengan sengaja. Banyak faktor teknikal dan luaran termasuk COVID-19 menyumbang kepada kelewatan. Walaupun Kerjaya Kagum diberikan surat tawaran oleh kerajaan persekutuan, banyak proses perlu dilaksanakan.

“Kenapa kita tidak batalkan? Ini melibatkan urusan perniagaan – ‘business deal’ – antara Kerjaya Kagum dan Gamuda. Kita tidak boleh campur tangan. Kerjaya Kagum kini hanya memegang 15 peratus saham setelah 45 peratus diagihkan kepada Gamuda, yang kini menjadi pemaju utama,” jelasnya.

Katanya, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan projek yang telah dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan tanpa asas kukuh memandangkan implikasi dari segi undang-undang, kewangan dan teknikal sangat besar.

Sementara itu, ADUN Senallang, Datuk Seri Shafie Apdal turut membangkitkan persoalan mengenai langkah-langkah jangka pendek kerajaan dalam menangani isu bekalan air dan elektrik yang masih ketara.

Menjawab soalan tersebut, Hajiji menjelaskan bahawa Empangan Ulu Padas bukan hanya dibina untuk membekalkan tenaga elektrik, tetapi turut berfungsi sebagai sumber air utama kepada rakyat, khususnya di Pantai Barat Sabah.

“Empangan ini adalah projek dua dalam satu untuk tenaga elektrik dan juga sumber bekalan air. Saya faham kegusaran rakyat mengenai isu ini,” katanya.

Menurut beliau, Sabah Electricity Sdn. Bhd. kini sedang giat melaksanakan beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi menambah baik bekalan tenaga elektrik.

“Saya difahamkan bermula Jun dan Julai ini, pelaksanaan teknologi BESS (Battery Energy Storage System) akan bermula. Ini akan membantu mengurangkan masalah gangguan bekalan dan meningkatkan margin simpanan tenaga sehingga 20 hingga 30 peratus,” katanya.

Tambahnya, beberapa projek tenaga baharu termasuk mini hidro dan solar juga sedang dirancang dan telah mendapat kelulusan daripada ECoS.

“Beri kami ruang dan peluang untuk melaksanakan semua perancangan ini. Yang penting, kerajaan sangat komited untuk menyelesaikan masalah tenaga dan air demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kumpulan Kibing ambil 700 lagi pekerja rakyat Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular