HomeUtama2,706 nelayan didaftarkan sebagai nelayan darat setakat 2025 - Dr Jeffrey

2,706 nelayan didaftarkan sebagai nelayan darat setakat 2025 – Dr Jeffrey

Read Time:2 Minute, 27 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Jabatan Perikanan Sabah (DOF) telah mendaftarkan sejumlah 2,706 nelayan sebagai nelayan darat setakat 2025, kata Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.

“Jumlah tersebut merangkumi 838 penerima Program Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHDND), 271 nelayan sepenuh masa dan 1,597 nelayan sambilan,” katanya.

Dr. Jeffrey yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri I Sabah berkata, pendaftaran ini merupakan salah satu kriteria utama dalam pemberian bantuan-bantuan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Menurutnya, pendaftaran nelayan darat ini sangat penting untuk memudahkan proses pengagihan bantuan serta memantau perkembangan sektor perikanan di Sabah.

Dalam ucapannya itu, Dr. Jeffrey juga menjawab isu yang dibangkitkan ADUN Telupid, Datuk Jonnybone Kurum yang mencadangkan kajian semula terhadap pengeluaran lesen kepada nelayan darat/penternak ikan air tawar agar lesen tersebut dapat digunakan untuk memohon bantuan insentif.

Menjawab soalan tersebut, Dr. Jeffrey menjelaskan bahawa setakat ini, Jabatan Perikanan Sabah belum mengeluarkan lesen bagi ternakan ikan air tawar dalam kolam.

Namun demikian, DOF telah menetapkan pemilikan geran tanah sebagai salah satu syarat utama dalam permohonan bantuan insentif bagi penternak ikan air tawar.

Menurut Dr. Jeffrey, pemilikan geran tanah adalah penting untuk memastikan bahawa bantuan disalurkan kepada penternak yang benar-benar mengusahakan tanah tersebut secara sah dan berterusan.

“Selain itu, syarat ini turut bertujuan untuk menjamin ketelusan, mengelakkan penipuan, serta memudahkan pemantauan aktiviti penternakan,” ujarnya.

Dr. Jeffrey menambah bahawa syarat pemilikan geran tanah ini turut mengelakkan pemohon berdepan dengan pertikaian hak milik tanah yang boleh menjejaskan kelangsungan projek penternakan.

Bagaimanapun, katanya, DOF memberikan kelonggaran kepada penternak kecil-kecilan yang mengusahakan tanah kampung, dengan syarat mendapatkan pengesahan dan kebenaran daripada ketua kampung. Kelonggaran ini tidak terpakai untuk tanah selain tanah kampung seperti tanah kerajaan, rizab atau tanah komersil.

Selain itu, Dr. Jeffrey juga menjelaskan bahawa dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Mac lalu, kerajaan telah meluluskan penubuhan Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA).

Katanya, SAMA akan berperanan dalam mengawal selia, mengurus tadbir, dan memasarkan produk-produk pertanian di Sabah, khususnya produk pertanian luar bandar.

“SAMA yang akan diselia oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, diwujudkan untuk membantu petani dan pengusaha pertanian berskala kecil di Sabah.

“Hasil pertanian mereka yang kebanyakannya tidak mencapai tahap pemasaran komersil, memandangkan banyak petani masih mengamalkan perladangan sara diri, akan dibantu melalui SAMA.

“Dengan fokus pada pemasaran hasil pertanian, SAMA dijangka akan memberi kesan langsung terhadap pembangunan subsektor tanaman di negeri ini, kerana petani dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha meningkatkan hasil pertanian tanpa perlu bimbang tentang aspek pemasaran,” katanya.

Di penghujung ucapan, Dr. Jeffrey turut menjemput semua Ahli Dewan untuk menghadiri dua acara besar yang akan diadakan di Dewan Pisompuruan, Tambunan. Acara pertama adalah Mini Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025, yang akan diadakan pada 29 April 2025, diikuti dengan Majlis Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 pada 1 Mei 2025.

RELATED ARTICLES
Utama

Suami didakwa bunuh isteri mengaku tidak bersalah, perbicaraan Julai ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular