Kota Kinabalu: Situasi bekalan elektrik di Sabah menunjukkan peningkatan yang positif menerusi kadar ‘reserve margin’ semasa yang kini berada pada 12.4 peratus.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah itu dijangka akan meningkat kepada 20 peratus menjelang Julai tahun ini.
Katanya, berdasarkan maklumat daripada Sabah Electricity (SE), kekerapan catuan bekalan elektrik telah berkurangan secara ketara berbanding tahun sebelumnya.
“Pada bulan lalu, hanya empat kali catuan bekalan direkodkan berbanding 13 kali pada bulan yang sama tahun lalu, iaitu pengurangan sebanyak 69 peratus.
“Manakala pada bulan ini, hanya sekali catuan direkodkan berbanding tiga kali pada April 2024 dan ia menurun sebanyak 67 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Hajiji turut menjelaskan bahawa kebanyakan insiden ‘load shedding’ tahun ini berpunca daripada gangguan pembekalan gas oleh PETRONAS serta gangguan teknikal lain.
Katanya, ia termasuk kehilangan tenaga solar secara mendadak di Tadao, Kudat akibat cuaca mendung secara tiba-tiba dan insiden di Pencawang Masuk Utama Segaliud pada April lalu.
“Namun tindakan pantas Grid System Operator dan pihak Sabah Electricity berjaya meminimumkan gangguan tersebut kepada hanya satu jam,” katanya lagi.
Hajiji berkata, dalam usaha menangani isu bekalan elektrik secara berkesan, Majlis Tenaga Sabah yang telah bersidang sebanyak tiga kali pada tahun lalu telah meluluskan beberapa langkah mitigasi interim serta projek ‘fast-track’ untuk meningkatkan kapasiti penjanaan dan memenuhi permintaan bekalan tambahan.
“Langkah-langkah ini akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kestabilan tenaga di Sabah dapat dikekalkan,” katanya.