KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) terus komited dalam menyelesaikan pelbagai isu berkaitan pemilikan dan pengukuran tanah, khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat dan anak negeri di seluruh Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pendigitalan dan pelaksanaan program PANTAS telah membantu mengurangkan tunggakan permohonan tanah dari tahun 1963 sebanyak 91 peratus iaitu daripada 313,543 permohonan pada 2011 kepada hanya 28,044 setakat Mac 2025.
Hajiji berkata sebanyak 1,279 geran tanah bersyarat Native Title (NT) telah diserahkan di Pulau Banggi, selain itu 2,674 lot telah selesai diukur, dan 1,562 lot lagi sedang dalam proses penyediaan geran draf. Tambahan 1,112 lot masih dalam semakan data ukur.
Di kawasan pedalaman seperti Keningau, Tambunan, Nabawan dan Tenom, sebanyak 36,803 lot melibatkan keluasan 224,608 hektar telah diukur di bawah pengukuran biasa dan program PANTAS.
Bagi daerah Nabawan, Hajiji memaklumkan bahawa sebanyak 285 lot tanah dalam Skim Nabawan telah dikeluarkan geran melibatkan 768.66 ekar.
“Sebanyak 484 geran PANTAS bersyarat Native Title (NT) telah diserahkan kepada pemilik. Manakala, sebanyak 335 geran lagi telah dicetak dan sedia untuk diserahkan kepada bakal pemilik,” katanya dalam ucapan penggulungan beliau di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Di Tuaran pula, permohonan bagi Kg. Norowot telah disokong seluas 23 ekar, manakala Kg. Tinabakan didapati belum mempunyai permohonan tanah rasmi. Kampung tersebut termasuk dalam kawasan KKIP, dan penduduknya telah dipindahkan ke Kampung Boronuon melalui pewartaan rasmi.
Mengenai isu ketiadaan kampung yang diwartakan dalam tempoh lima tahun, Hajiji berkata terdapat 16 permohonan tanah untuk perkampungan anak negeri yang sedang diproses dan akan diwartakan selepas kelulusan Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah.
Mengulas permohonan pembinaan Pejabat Tanah dan Ukur di Tongod, Hajiji berkata permohonan pembinaan itu telah dimasukkan dalam cadangan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menjawab cadangan berkenaan pewujudan peruntukan khas atau bantuan Persekutuan di bawah Projek Khas Anak Negeri, Hajiji berkata JTU akan meneliti cadangan tersebut secara menyeluruh dan mengambil tindakan wajar.
“Kerajaan akan terus memperkasakan peranan Jabatan Tanah dan Ukur demi memastikan hak milik tanah rakyat Sabah, khususnya anak negeri, sentiasa dilindungi dan diselesaikan secara adil dan menyeluruh,” katanya.
Manakala, dalam usaha menpercepatkan proses pindah milik tanah native title (NT), JTU telah membangunkan sistem pendigitalan Verify Land Title Information System (VLTIS).
Sistem ini memendekkan proses kebenaran pertukaran nama untuk geran tanah bersyarat NT/FR kepada 10 hingga 40 hari tertakluk kepada Interpretation (Definition of Native) Ordinance Cap. 64, Seksyen 2(1)(a) hingga (d).