HomeUtamaSabah kutip RM7.36 bilion cukai petroleum setakat Mac 2025 – Masidi

Sabah kutip RM7.36 bilion cukai petroleum setakat Mac 2025 – Masidi

Read Time:1 Minute, 53 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Sabah telah mengutip RM7.36 bilion jumlah cukai petroleum setakat Mac 2025.

Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kajian untuk meluaskan sumber hasil negeri termasuk Cukai Produk Petroleum telah dimulakan sejak tahun 2012 dan disiapkan pada tahun 2014. Namun, cadangan itu hanya dilaksanakan pada tahun 2020.

Sejak tahun 2021, Kerajaan Negeri berjaya mengutip cukai petroleum melebihi RM 1.4 bilion setahun dengan kutipan tertinggi pada tahun 2022 sebanyak RM 1.9 bilion.

Skop cukai ke atas produk petroleum yang sebelum ini hanya dikenakan ke atas Minyak Petroleum Mentah (termasuk Kondensat) dan Gas Asli/ Gas Asli Cecair (LNG) telah diperluas kepada produk-produk tambahan iaitu Ammonia dan urea (berkuat kuasa pada 1 Ogos 2022) dan Metanol (berkuat kuasa pada 1 Oktober 2023).

Bagi tujuan mengoptimumkan lagi kutipan cukai produk petroleum, Masidi berkata, bermula 1 Februari 2025, Kerajaan Negeri telah melaksanakan harga rujukan yang menggunakan purata harga pasaran bagi tempoh 12 bulan yang terakhir.

“Cukai akan dikira menggunakan nilai yang paling tinggi antara harga invois atau harga rujukan,” katanya semasa ucapan penggulungan beliau di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Mengenai isu berhubung penerimaan royalti petroleum yang masih pada kadar 5 peratus, Masiid berkata, Sabah telah mendapat perkongsian hasil, penyertaan dan penguasaan berkaitan minyak dan gas yang lebih besar.

“Ini berikutan langkah strategik yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada 7 Disember 2021,” katanya.

Tambah beliau lagi, ini terbukti melalui penyertaan SMJ Energy (SMJE), syarikat minyak dan gas yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, dalam pelbagai aspek industri huluan dan hiliran.

Jelas Masidi, dengan modal permulaan sebanyak RM50 juta, SMJ Energy Sdn Bhd dalam tempoh dua tahun sahaja telah mengisytiharkan dan mengagihkan dividen berjumlah RM110 juta kepada Kerajaan Negeri, dan kini berkembang menjadi sebuah syarikat bernilai RM5 bilion.

“Saya juga ingin berkongsi mengenai penglibatan Syarikat Tempatan dalam Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (Oil and Gas Services and Equipment (OGSE)), yang mana sejak tahun 2021 hingga 2024, jumlah pendapatan syarikat OGSE tempatan telah meningkat daripada RM613 juta kepada RM2 bilion (peningkatan sebanyak 229 peratus).

“Semua ini merupakan antara manfaat yang diterima oleh negeri Sabah secara langsung daripada industri minyak dan gasnya sendiri, selain daripada penerimaan bayaran royalti sebanyak lima peratus,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Alexander Nanta buat laporan polis, nafi terlibat skandal rasuah Pan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular