Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Skim Bantuan Kesihatan SMJ ‘Sabah Sejahtera’ diperkenalkan Kerajaan pada tahun ini sebagai inisiatif meringankan beban pesakit buah pinggang tahap akhir khususnya dari golongan kurang berkemampuan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata, jumlah keseluruhan kos yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi membiayai skim ini ialah RM8.5 juta.
Katanya, dari jumlah itu, sebanyak RM4 juta adalah untuk kos rawatan manakala RM4.5 juta lagi adalah untuk pembelian mesin hemodialisis.
“Kerajaan Negeri menanggung sepenuhnya kos rawatan hemodialisis di hospital dan klink kerajaan dan juga rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) di rumah.
“Sebanyak 100 buah mesin hemodialisis akan dibekalkan kepada 25 hospital dan klinik bagi menggantikan sebahagian daripada 474 mesin yang tidak berfungsi dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
James berkata, skim bantuan itu yang kini pada fasa pertama difokuskan kepada rawatan pesakit buah pinggang.
Justeru beliau berharap ianya akan dapat diperluaskan kepada perkhidmatan-perkhidmatan rawatan lain berdasarkan keperluan.
Dalam pada itu, James berkata, pihaknya menerima baik dan mengucapkan terima kasih di atas cadangan membawa teknologi baru bagi rawatan talasemia di negeri ini.
Katanya, pihaknya turut maklum dan amat prihatin tentang jumlah kes talasemia yang tinggi di negeri Sabah.
“Teknologi rawatan dan perubatan baharu yang dipertimbangkan untuk dibawa masuk ke dalam negara perlu mematuhi prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu memenuhi piawaian keselamatan, keberkesanan klinikal dan kelestarian kos sebelum diluluskan.
“Proses ini akan memakan masa sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya. – SABAH MEDIA