Oleh FLORIETA DIET
TUARAN: Sembilan rumah tidak kekal dan lima kenderaan terbakar dalam kebakaran di Kampung Tembiluk, Mengkabong di sini, awal pagi Rabu, menyebabkan seorang mangsa cedera.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Mohamad Nor Amit berkata, lapan rumah musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi terbakar 40 peratus.
Turut terbakar dua motosikal, sebuah kereta Proton Wira (70 peratus), Proton Iswara (10 peratus) dan sebuah lori 10 tan (lima peratus).
“Seorang mangsa cedera di tangan dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Tuaran oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.41 pagi sebelum 11 anggota dikerah ke lokasi bersama sebuah jentera FRT, water tanker dan EMRS.
Operasi pemadaman dikawal sepenuhnya pada jam 3.30 pagi dan ditamatkan pada 6.59 pagi.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia dan Sabah Electricity. Siasatan punca kejadian dan anggaran kerugian masih dijalankan.