Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan Skim Payment for Ecosystem Services (PES) khususnya bagi kawasan tadahan air Babagon, yang telah dijadikan lokasi rintis (pilot) bagi membangunkan kerangka skim tersebut.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, skim ini merupakan pendekatan lestari yang melibatkan komuniti hulu sungai yang bersedia mengorbankan penggunaan tanah demi pemeliharaan alam sekitar dan sumber air. Sebagai timbal balik, komuniti hilir yang mendapat manfaat akan membayar pampasan kepada mereka yang menjaga kawasan tadahan tersebut.
“Kerajaan masih komited untuk laksanakan skim PES, khususnya di kawasan tadahan Babagon yang dijadikan lokasi rintis sesuai dengan keadaan setempat serta penerimaan masyarakat,” katanya ketika menjawab soalan Adun Kapayan Jannie Lasimbang dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Tambah beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah kini berada di fasa akhir proses pengazetan kawasan tadahan Babagon sebagai kawasan perlindungan di bawah Enakmen Sumber Air Sabah 1998. Pelaksanaan penuh skim PES hanya boleh dimulakan selepas kawasan tersebut digazet dan kerangka perundangan termasuk penubuhan Tabung Pemuliharaan diwujudkan.
Dalam soalan tambahannya, Jannie menekankan kepentingan kawasan tersebut yang telah dijaga oleh komuniti sejak 2016, termasuk Kampung Babagon Toki, Kampung Kolosunan dan Kampung Tampasak. Beliau mencadangkan agar satu program penjagaan bersama komuniti dilaksanakan sementara menunggu proses pengazetan selesai, terutamanya untuk mengelakkan pencemaran akibat aktiviti pembukaan tanah.
Menjawab cadangan tersebut, Jeffrey menyambut baik inisiatif komuniti dan NGO serta menyatakan bahawa tiada halangan untuk melaksanakan program penjagaan sementara secara bersama, walaupun kerangka penuh PES dan tabung khas masih belum tersedia.
“JPS bersama Water Resources Council akan cari jalan mempercepatkan proses pengazetan kawasan Babagon. Walaupun rangka kerja belum lengkap, tiada sekatan untuk memulakan langkah-langkah sementara,” katanya.
Program PES dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti dan alam sekitar, khususnya dalam pemuliharaan sumber air.