HomeUtamaKerajaan Negeri hargai peranan MICCI

Kerajaan Negeri hargai peranan MICCI

Read Time:3 Minute, 7 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menghargai peranan Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) dalam proses penggubalan dasar dan membuat keputusan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, MICCI telah memainkan peranan penting sebagai rakan dalam kemajuan kepada kerajaan persekutuan dan negeri terutama dalam mempromosikan persekitaran perniagaan yang baik.

Katanya, ia dengan membangun dan melaksanakan rangka kerja pengawalan yang kukuh yang kondusif untuk persekitaran perniagaan yang sihat.

Menurutnya, MICCI juga telah memainkan peranan utama dalam Ekspo Antarabangsa Sabah yang diadakan setiap dua tahun, yang telah menjadi platform penting untuk mempromosikan perdagangan, perniagaan dan pelaburan selama lebih dua dekad.

“Dengan keanggotaan korporat yang kukuh merentasi pelbagai sektor perniagaan dari pelbagai negara dan pelaburan bernilai bilion, MICCI adalah satu kuasa yang perlu diambil kira.

“Ketekunan dan sejarah sokongan kepada anggotanya dalam membangunkan perniagaan mereka di negara ini adalah sesuatu yang patut dipuji,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan tengah hari tahunan Cawangan Sabah MICCI 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini 

Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Hajiji, Datuk Ceaser Mandela Malakun.

Hajiji berkata, komitmen Kerajaan Negeri untuk menangani pelbagai cabaran, termasuk infrastruktur dan kemudahan asas, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi jelas melalui belanjawan tertinggi sebanyak RM6.42 bilion tahun ini.

Di bawah belanjawan itu, beliau berkata RM2.6 bilion telah diperuntukkan untuk menaik taraf pelbagai infrastruktur dan utiliti, terutamanya yang melibatkan air, elektrik, dan jalan.

“Kami telah melaksanakan pelan tindakan yang terancang. Antara langkah-langkah ini adalah untuk membantu peralihan kebergantungan negeri kepada sumber tenaga tidak boleh diperbaharui kepada tenaga boleh diperbaharui, di mana kami telah melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

“Untuk meningkatkan kapasiti hidro, kami telah melancarkan projek hidroelektrik Ulu Padas, yang boleh menyumbang sekitar 187.5MW dan juga berpotensi untuk membekalkan sekitar 6,000 juta liter sehari (MLD) air. Selain itu, kapasiti loji rawatan air yang sedia ada juga telah ditingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri telah menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) sebagai badan pengawalseliaan bagi bekalan gas dan tenaga bagi menyelesaikan masalah tenaga.

Beliau berkata Sabah Ports Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian untuk mengurus bersama Pelabuhan Kontena Sapangar Bay, berserta pelaburan dalam infrastruktur logistik dan rantaian bekalan di Sabah.

“Dalam bidang pelaburan, kami telah mendapat momentum positif. Jumlah pelaburan asing dan domestik yang diluluskan di Sabah dalam sektor pembuatan sejak September 2020 dianggarkan bernilai RM17.41 bilion daripada 73 syarikat.

“Daripada 73 syarikat ini, 52 telah pun menubuhkan perniagaan di negeri ini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM7.8 bilion, yang mencipta 3,636 pekerjaan. Dari 2022 hingga 2024, Sabah juga menerima cadangan pelaburan baru bernilai tambahan RM42.3 bilion, menawarkan 32,996 pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata selain SK Nexilis dan Kumpulan Kibing, pelabur lain termasuk Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd dengan pelaburan RM19.6 bilion, Curix Sdn Bhd (KKIP), barisan pengeluaran ketiga Kumpulan Kibing (KKIP), Tex Evolusi Waste Management Sdn Bhd (SOGIP) dan E Concern (Borneo).

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) juga sedang menyelaras cadangan pelaburan terkini dari Kumpulan Kibing di Kimanis, TS Asia Green Infrastructure Sdn Bhd di POIC Lahad Datu dan PMB Technology/Press Metal di Sipitang.

“Secara keseluruhan, saya gembira untuk mengatakan bahawa dengan semua pelaburan ini, Sabah mampu meraih pelaburan bernilai RM58.319 bilion. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan terus memajukan momentum ini bagi memastikan negeri ini kekal kondusif untuk pelabur,” katanya.

Hajiji berkata Ekonomi Biru, yang dilancarkan tahun lalu, juga dijangka menjadi pemangkin dalam pembelbagaian ekonomi negeri.

“Ekonomi Biru bukanlah sekadar penangkapan ikan laut dalam. Sebenarnya, terdapat 14 komponen dalam Ekonomi Biru yang boleh diterokai. Antaranya adalah tenaga laut boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim, dan bioteknologi marin, antara lain. Saya menanti dengan penuh harapan pelaburan dalam sektor ini pada masa hadapan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Banjir Sabah : 19 kampung terjejas, mangsa cecah 1,600 Orang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular