Kota Kinabalu : Kerajaan negeri dicadang untuk meneliti kemungkinan untuk membawa masuk teknologi dan kepakaran rawatan thalasemia dari luar negara seperti China ke Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau Datuk Juil Nuantim berkata, langkah itu adalah bagi meringankan beban kewangan keluarga pesakit selain dapat membuka ruang keadilan sosial dan kesihatan untuk semua.
Beliau turut berharap Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam membawa keadilan sosial dan kesejahteraan hidup kepada rakyat negeri ini.
“Mengikut laporan, jumlah pesakit Thalasemia di Sabah adalah tertinggi di Malaysia iaitu 1,979 pesakit pada tahun 2023, manakala peratusan pembawa talasemia di Sabah adalah tiga kali ganda berbanding kadar peratusan seluruh negara iaitu 23 peratus berbanding 6.8 peratus.
“Pesakit talasemia ini bergantung hidup kepada transfusi darah dengan kekerapan setiap dua hingga empat minggu. Sehingga kini, kaedah rawatan yang membawa kesan signifikan banyak terdapat di luar negara, seperti China.
“Namun ia membabitkan kos yang begitu tinggi, sedangkan rata-rata penghidapnya datang dari golongan kurang berkemampuan. Ibu bapa terpaksa memikul beban kos yang tinggi, hanya semata-mata mencari harapan di hujung dunia kerana rawatan itu belum tersedia di tanah air sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan dasar Kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.
Juil berkata, beliau turut mengalu-alukan komitmen kerajaan negeri yang turut memberi perhatian kepada kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme, dengan menubuhkan Pusat Autisme Sabah melalui kerjasama Universiti Malaysia Sabah.
Katanya, pusat itu menyediakan perkhidmatan diagnosis, intervensi awal serta program terapi yang bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak autisme.
Dalam pada itu, Juil memohon agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan pembinaan Kompleks Sukan Daerah Papar dalam Rancangan Malaysia ke-13.
Katanya, ia penting sebagai pelaburan strategik jangka panjang, bagi mencungkil bakat sukan anak muda, serta menyediakan ruang pembangunan belia yang sihat, progresif dan bersatu.
“Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, daerah Papar sehingga kini masih belum mempunyai Kompleks Sukan. Yang kami ada hanyalah trek sintetik Padang Pekan Papar, yang dibuka untuk masyarakat setempat sejak Disember 2023 lalu.
“Trek sintetik enam lorong itulah yang dijadikan pusat riadah dan aktiviti sukan oleh warga Papar, sedangkan untuk temasya sukan lebih besar kami terpaksa meminjam fasiliti di Kompleks Sukan Beaufort atau Penampang,” katanya. – SABAH MEDIA