HomeUtamaKerajaan Sabah komited bantu anak muda lanjut pengajian – Harun

Kerajaan Sabah komited bantu anak muda lanjut pengajian – Harun

Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperluas akses pendidikan tinggi dalam kalangan lepasan sekolah menengah di negeri ini menerusi pelbagai program sokongan seperti latihan kemahiran, bantuan tunai, dan biasiswa.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Harun Durasi berkata, di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) terdapat dua agensi utama yang melaksanakan inisiatif membantu pelajar sekolah menengah di negeri ini melanjutkan pengajian ke Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Agensi tersebut ialah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan Sabah Skills and Technology Centre (SSTC).

“Institut Latihan Teknik dan Perindustrian (ILTP) adalah Pusat Latihan di bawah JPSM yang menyediakan peluang kepada golongan belia dan beliawanis yang tercicir ataupun tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) untuk mengikuti program TVET,” katanya dalam sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Harun menjawab pertanyaan Calvin Chong Ket Kiun (Warisan – Elopura) berhubung usaha kementerian membantu pelajar lepasan sekolah menengah di Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk penyediaan peluang biasiswa, kemasukan ke IPTA dan program TVET.

ILTP menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3 (setara sijil SPM) yang mendapat akreditasi daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), selain peluang melanjutkan pengajian ke Diploma Kemahiran (Tahap 4) dan Diploma Lanjutan (Tahap 5).

JPSM juga turut bekerjasama dengan universiti teknikal seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dengan pembiayaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

“Pada tahun 2025, peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) telah meningkat daripada RM113,171,400 kepada RM125,000,000.

“Ini merupakan usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk menaja lebih ramai anak-anak Sabah yang akan melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara untuk pelbagai bidang pengajian dan keutamaan diberikan dalam bidang STEM,” katanya.

Harun berkata, SSTC berperanan sebagai peneraju program latihan kemahiran yang berorentasikan keperluan industri semasa dan permintaan pasaran kerja.

“Program-program yang ditawarkan oleh SSTC menyasarkan lepasan SPM serta graduan IPTA/IPTS dalam bidang utama yang ditawarkan seperti minyak dan gas, Safety and Health, Perhotelan, Kulinari dan pengurusan perladangan.

“Sijil-sijil yang dikeluarkan oleh SSTC diiktiraf oleh Malaysian Qualifiacations Agency (MQA) dan International Institute of Plantation Management (IIPM), sebuah institusi profesional yang mengiktiraf kelayakan dalam bidang perladangan,”katanya.

Harun turut memaklumkan, kerajaan negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) turut menyediakan bantuan kepada pelajar lepasan sekolah menengah yang melanjutkan pelajaran seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara One-Off (BUDI) dan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).

“Selain itu, Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) juga disediakan untuk pelaksanaan atau penyertaan program berkaitan Pendidikan,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

JPPKK, KPT anjur Anugerah Gemilang Pelajar martabatkan institusi pendidikan TVET negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular