Oleh FLORIETA DIET
SANDAKAN: Kementerian Kerja Raya Sabah melalui Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) Sabah telah melaksanakan pelbagai langkah penyelesaian bagi menangani masalah sistem pembentungan di beberapa kawasan di Sandakan, termasuk Taman Megah Batu, Pasar Batu 8, Bandar Ramai-Ramai dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, antara isu utama yang dikenalpasti termasuk loji kumbahan yang tidak beroperasi akibat kecurian komponen elektrik, penyumbatan paip sampah, serta pembuangan minyak, lemak dan gris ke dalam sistem pembetungan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Bagi masalah yang dihadapi di loji kumbahan di Taman Megah adalah disebabkan kecurian komponen elektical namun kerja-kerja pembaikan telah siap pada 19 Februari dan penyelenggaraan paip selesai pada 31 Mac. Namun, masalah berulang di Pasar Batu 8 akibat pembuangan bahan terlarang ke dalam sistem pembentungan menunjukkan perlunya kesedaran masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum Gum Arunarnsin Taib dan Adun Karamunting Datuk Hiew Vun Zin mengenai isu itu semasa sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, JPP Sabah telah memulakan program pembersihan menyeluruh di pasar-pasar awam di sekitar Sandakan termasuk Pasar Umum, Pasar Elopura I & II, Pasar Batu 8, Pasar Bandar Ramai-Ramai dan Pasaraya, bermula 9 April lalu untuk tempoh sembilan bulan.
“Bagi kawasan Bandar Ramai-Ramai, kebanyakan masalah melibatkan sistem paip dalaman bangunan yang uzur. Justeru itu, penyelenggaraan adalah tanggungjawab pemilik premis. Sementara itu, sistem pembetungan awam di kawasan luar bangunan terus diselenggara oleh JPP Sabah,”katanya.
Sementara bagi lima kawasan PPR iaitu PPR Sungai Manila, Taman Murni, Lintas Sibuga, Taman Gum Gum dan Taman Mesra, isu utama adalah pembuangan sampah ke dalam lurang oleh segelintir penduduk. JPP Sabah telah menjalankan pembersihan paip serta pembersihan rutin melalui kontraktor bagi PPR Lintas Sibuga dan Taman Gum Gum, manakala tiga lagi kawasan dikendalikan oleh JPP sendiri.
Beliau menjelaskan bahawa secara keseluruhannya, masalah utama berpunca daripada pembuangan sampah, gris dan minyak ke dalam sistem. JPP Sabah akan terus memperkukuh penguatkuasaan, pemeriksaan bersama MPS, dan program kesedaran awam untuk membendung isu ini.
Tambahnya lagi, kementeriannya turut berusaha meningkatkan keupayaan kakitangan dan kelengkapan di JPP Sandakan bagi memastikan sistem pembetungan awam beroperasi dengan lancar dan berkesan.