HomeUtamaLPBS bangunkan 22,146 hektar sawah padi terbiar tanpa sistem pengairan

LPBS bangunkan 22,146 hektar sawah padi terbiar tanpa sistem pengairan

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah melalui Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) sedang membangunkan 22,146 hektar kawasan sawah padi terbiar yang tidak mempunyai sistem pengairan di enam daerah di negeri ini.

Pembantu Menterinya, Datuk Peto Galim berkata, kawasan terlibat merangkumi Kota Marudu (3,132 hektar), Kota Belud (8,652), Tuaran (2,514), Tambunan (2,064), Keningau (3,514) dan Papar (2,270 hektar).

Katanya, bagi memastikan kelancaran pembangunan dan pengurusan padi, Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Padi Daerah telah ditubuhkan di setiap daerah terbabit, dipengerusikan oleh Ahli Lembaga LPBS.

“Jabatan Pertanian Sabah turut menyediakan latihan teknologi pertanian, antaranya kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menerusi Inisiatif Digital AgTech yang melibatkan penggunaan sistem Internet of Things (IoT) untuk fertigasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini ketika menjawab soalan Adun Liawan, Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub mengenai inisiatif kerajaan negeri meningkatkan hasil pertanian tempatan termasuk bantuan kepada petani.

Menurut Peto, sehingga kini, sebanyak 1,343 kursus telah dilaksanakan membabitkan 14,379 peserta dengan nilai jualan RM23.95 juta.

Beliau turut memaklumkan Program Geran Pemadanan Change Upgrade Product telah memberi manfaat kepada 63 usahawan dengan geran berjumlah RM1.432 juta, menghasilkan jualan bernilai RM15.18 juta antara 2021 hingga 2025.

“Manakala Program Geran Agropreneur Muda pula telah membantu 86 belia dalam sektor pertanian dan pemprosesan makanan, termasuk tanaman cili, rock melon, sayuran hidroponik, cendawan, pisang Sabah, betik, durian serta ternakan madu kelulut, “katanya.

Tambah beliau, dalam sektor industri hiliran pula, produk berasaskan kelapa, kopi, ubi kayu dan tuhau mencatatkan nilai jualan RM3.724 juta. Manakala Program Agropelancongan diperkenalkan bagi memanfaatkan ladang tanaman makanan sebagai tarikan pelancongan, dengan 19 pengusaha menerima geran RM3.5 juta dan merekodkan nilai jualan RM2.244 juta.

Katanya, untuk memperluas pemasaran, aplikasi digital Hub Hasil Pertanian dibangunkan sebagai platform perniagaan dalam talian bagi memudahkan petani memasarkan produk mereka secara lebih efektif.

“Korporasi Pembangunan Desa (KPD) telah membina enam Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) di Beaufort, Keningau, Kota Marudu, Lahad Datu, Kundasang (Ranau) dan Telupid yang menyediakan kemudahan pengumpulan, penggredan, pembungkusan dan pemasaran.

“Usaha ini turut diperluas apabila KPD kini sedang membina lima lagi APCC baharu di Nabawan, Tambunan, Tenom, Penampang (Moyog) dan Tuaran bagi membantu lebih ramai petani luar bandar memasarkan hasil pertanian mereka,” ujar beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Suami didakwa bunuh isteri mengaku tidak bersalah, perbicaraan Julai ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular